KUALA LUMPUR - Pembentangan Belanjawan 2014 diharap dapat menyenaraikan lebih banyak langkah bagi meringankan beban kewangan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan kerajaan menimbang pelepasan cukai yang lebih tinggi terhadap golongan berpendapatan antara RM3,000 dan RM9,000 sebulan bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu daripada RM6,000 kepada RM10,000.

Sementara bagi yang bekerja sendiri pula perlu layak mendapat potongan yang lebih tinggi supaya mereka boleh mendapat simpanan KWSP yang lebih tinggi semasa usia tua kelak.

"Saya juga berharap kadar cukai pendapatan bagi golongan yang mempunyai pendapatan bercukai melebihi RM50,000 perlu dikurangkan daripada 19 peratus kepada 15 peratus.

"Serta mereka yang mempunyai pendapatan bercukai lebih daripada RM70,000 harus dikurangkan cukainya daripada 24 peratus kepada 20 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lee juga mencadangkan agar pelepasan cukai ke atas anak dapat ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 memandangkan kos yang tinggi dalam pembiayaan pendidikan.

Dalam pada itu, Lee turut mengemukakan cadangan supaya pembeli rumah kali pertama diberi pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama tiga tahun, sama seperti yang termaktub di dalam peruntukan Pakej Rangsangan kedua pada 2009.

Bagi menampung kos hidup yang tinggi dalam keluarga yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) pula, Lee mencadangkan agar kerajaan meningkatkan pelepasan cukai daripada RM5,000 kepada RM9,000.

Beliau juga berharap pelepasan cukai ke atas isteri sebanyak RM3,000 digandakan untuk memberi manfaat kepada ketua isi rumah yang isterinya tidak bekerja.

Selain itu, syarikat yang menjalankan program tanggungjawab sosial korporat yang berkaitan aktiviti kesedaran pencegahan jenayah dan program menggalakkan perpaduan turut dicadang untuk diberi potongan cukai berganda.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat 25 Oktober ini. - Bernama