Isnin, 7 Oktober 2013

Bekas tahanan ISA dipilih Timbalan Ulamak PAS Perak


Muhammad Faeez Azahar,



Beh Heng Kim turut berucap pada muktamar berkenaan.


TAIPING: Mantan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Kamaruddin Awang Basir telah dipilih sebulat suara menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Perak bagi sesi 2013-2015.

Beliau menang tanpa bertanding dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Perak kali ke-37 yang diadakan di Markas Tarbiyyah PAS Air Kuning, dekat sini kelmarin.

Ustaz Kamaruddin sebelum ini menjadi pemangku kepada jawatan itu apabila Ustaz Shuaid Din meletakkan jawatannya atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua juga tiada pertandingan berlaku apabila bekas tahanan ISA, Ustaz Ibrahim Zakaria menjadi calon tunggal bagi jawatan tersebut sekali gus memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada beliau.

Dalam pada itu, jawatan Naib ketua Dewan Ulamak menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Ustaz Sidek Noor, Ustaz Norazli Musa dan Ustaz Ismi Mat Taib.

Namun ianya telah dimenangi oleh 'orang lama', Ustaz Sidek Noor apabila mendapat undian tertinggi daripada perwakilan seluruh kawasan.

Ahli jawatankuasa pula masing-masing dimenangi oleh Ustaz Mustafa Shaari,Ustaz Dahalan Ismail, Ustaz Salleh Said, Ustaz Fakhruddin Abdul Azi, Ust Norazli Musa, Ustaz Ismi Mat Taib, Ustaz Arman Yusop, Ustaz kamaruddin Adam, Ustaz Kamal Izzat dan Ustaz Suhaimi Wafir.

Muktamar kali ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Pengisian serta perbahasan muktamar banyak mengisarkan tentang strategi memperkasakan sayap kanan parti itu dalam usaha menambahkan lagi peranan institusi ulamak.

Para pimpinan juga menyuarakan seruan tegas kepada semua pimpinan khususnya ketua urusan Ulamak di semua kawasan agar lebih pro-aktif dan menggiatkan lagi peranan serta memperbanyakkan program-program berbentuk tarbiyah.

Ulamak juga diseru agar lebih mendepani isu semasa khususnya berkaitan intistusi agama disamping bersama-sama menyertai program kemasyarakatan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Beh Heng Kim.

Dalam pada itu, mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Shuaid Din telah dianugerahkan Tokoh Ulamak PAS Perak.

Anugerah tersebut bagi mengenang jasa beliau yang telah memimpin ulamak PAS Perak lebih daripada 10 tahun.

Tiada ulasan: