Jumaat, 25 Oktober 2013

Bajet 2014 gagal perbetul ketirisan berbilion wang rakyat


anwar ibrahim parliament 2


KUALA LUMPUR  : Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat daripada berlaku, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat.

“Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan.

“Yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian. GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin.

“Keduanya kenaikan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali,” kata Anwar ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, pelaksanaan GST hanya menyebabkan rakyat yang tidak pernah membayar cukai akan terpaksa membayar cukai.

“Di Malaysia hanya enam peratus penduduk yang bayar cukai. Di Malaysia hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya ketika ditemui.

Katanya, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana rakyat yang tidak pernah membayar cukai selama ini terpaksa membayarnya.

“Dia (Kerajaan) bukan sahaja mengenakan GST pada 2015, tapi telah hapuskan subsidi gula 30 peratus, saya tak tahu apakah jumlah ini akan jimat tetapi ini hanya menambahkan beban rakyat,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.EZY

Tiada ulasan: