Sabtu, 12 Oktober 2013

Audit: Mahathir juga tuju kepada Najib letak jawatan

Abdul Aziz Mustafa,


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya menyuruh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan apabila meminta menteri-menteri yang dilihat gagal dalam laporan Ketua Audit Negara meletak jawatan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz.

"Apabila Dr Mahathir meminta menteri-menteri yang dilihat gagal dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 meletakkan jawatan, beliau sebenarnya menujukan kenyataan itu kepada Najib," katanya.

Najib, kata Mahfuz, ialah orang yang bertanggungjawab melantik menteri-menteri berkenaan.

"Sebab itulah saya kata Dr Mahathir sebenarnya meminta Najib meletakkan jawatan kerana kesilapan melantik menteri-menteri yang tidak beramanah dan tidak cekap bekerja.

"Kesilapan mereka adalah kesilapan Najib sebagai Perdana Menteri yang melantik mereka," kata beliau.

Menurut Mahfuz, sistem nilai yang terpakai dengan meluas meletakkan Perdana Menterilah yang bertanggungjawab terhadap segala kepincangan kewangan dan pentadbiran serta penyalahgunaan kuasa yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara itu.

"Sama ada yg dibuat oleh menteri-menteri atau kakitangan, akhirnya Najiblah yang bertanggungjawab.

"Pentadbiran negara ini sering dipanggil sebagai pentadbiran Najib dan kita selalu dengar atau baca Orang Putih kata 'the buck stop at Najib'," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, sebelum ini rakyat terlalu kerap mendengar bahawa Dr Mahathir tidak puas hati dengan stail dan prestasi Najib.

"Dengar cerita Dr Mahathir melihat Najib sebagai lemah dan lembik," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir akan terus memberikan tekanan terhadap Najib seperti yang dilakukannya terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu sehingga akhirnya "Malaysia mendapat Perdana Menteri baru menggantikan Najib".

Dr Mahathir dilaporkan meminta menteri-menteri yang diperlihatkan gagal dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 meletakkan jawatan.

Menurut bekas Perdana Menteri, menteri-menteri harus bertanggungjawab untuk apa yang berlaku dalam kementerian mereka berikutan laporan Ketua Audit Negara.

"Di Jepun, bila kapal terbang terhempas di landasan, menteri pengangkutan perlu meletakkan jawatan. Di Malaysia, jika kemalangan kapal terbang, itu bukan masalah saya.

"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan," katanya dan sambil bergurau berkata, "saya meletak jawatan kerana saya gagal".

Tiada ulasan: