Rabu, 2 Oktober 2013

Audit: Himpunan macam Bersih desak ambil tindakan

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya diadakan himpunan seperti Bersih, tetapi kali ini untuk menuntut penyiasatan dan tindakan diambil kepada mereka yang didapati bersalah dan bertanggungjawab berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

“Tekanan untuk perkara ini diberi perhatian perlu datang daripada rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tambahnya, tekanan harus diteruskan sehingga kerajaan BN mengaku bahawa kerajaan mereka boros.

Jika tidak, kata beliau budaya ketirisan itu akan berterusan dan rakyat akan disuruh terus membayar lebih untuk menampung kos kehidupannya untuk membolehkan kerajaan BN terus berboros dalam perbelanjaannya.

Katanya lagi, ketirisan yang dilaporkan setiap tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan Malaysia memerlukan rasionalisasi perbelanjaan di semua jabatan kerajaan terlebih dahulu sebelum menghukum rakyat dengan rasionalisasi subsidinya.

Menurutnya, tidak adil buat kerajaan yang hanya tahu suruh rakyat membayar lebih 20 sen seliter untuk minyak yang menjadi keperluan hariannya untuk mencari rezeki tatkala agensi-agensi kerajaan terus menerus melakukan pemborosan membeli perkakasan yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Bayangkan, ujarnya jam dinding yang berharga RM100 dibeli pada harga RM3,810 oleh Radio Televisyen Malaysia menggunakan duit rakyat.

“Cukup kecil hati rakyat jikalau duit yang dijimatkan daripada pengurangan subsidi minyak digunakan untuk pembelian-pembelian seperti ini yang cukup menjengkelkan,” katanya.

Beliau berkata, pada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang berkata laporan Ketua Audit menunjukkan ketelusan pentadbiran negara, PAS berharap beliau dapat menggunakan kepintarannya yang diwar-warkan sendiri untuk melihat bahawa ketirisan itu menandakan sistem perolehan kerajaan telah rosak dijangkiti barah rasuah sehingga akarnya.

Di sini, kata beliau perlunya kerajaan BN untuk melakukan rasionalisasi perbelanjaan sebagai kemoterapi merawat barah ini sebelum memerah otak mereka menekan rakyat untuk menampung perbelanjaan.

Tuan Ibrahim menambah, persoalan yang berlegar di fikiran rakyat ialah kenapa tiada sebarang tindakan apabila setiap kali laporan audit dibentang.

“Ke manakah perginya transformasi yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri yang sepatutnya membendung barah ini?” tanya beliau.

Tambahnya lagi, ternyata laungan transformasi beliau hanya slogan kosong.

“Kita yakin selagi kerajaan BN menerajui negara, penyalahgunaan kuasa dan pengurusan sumber kewangan negara akan berterusan,” ujarnya.

Menurut beliau, media-media boleh terus mengorek ketirisan-ketirisan yang telah berlaku, tetapi sekiranya rakyat Malaysia terus mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam soal ketirisan, kerajaan BN akan terus bersikap acuh tidak acuh pada laporan Ketua Audit itu.

Tiada ulasan: