Khamis, 3 Oktober 2013

Anwar : PR akan teruskan bantahan besar-besar pindaan PCA


anwar pc -2013

 
KUALA LUMPUR :  Pakatan Rakyat (PR) akan terus membantah pelaksanaan Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA) walaupun diluluskan kerajaan Umno-BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR akan mempergiatkan penerangan kepada rakyat pindaan PCA melalui penganjuran kempen, forum dan dialog ke seluruh negara kesan pelaksanaannya kelak.

“Kita akan terus membantah baik dalam Parlimen mahupun di luar untuk memberi penerangan kepada rakyat betapa terdesaknya kerajaan tentang pelaksanaan akta ini.

“PR berpendirian undang-undang ini rakus dan akan disalahgunakan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegas Anwar, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan yang angkuh serta mengenepikan prinsip-prinsip keadilan sejagat.

Katanya lagi, pindaan PCA ternyata melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi manusia.

Anwar turut menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pendirian tetap dan lemah menghadapi tekanan sehingga terpaksa bersetuju dengan undang-undang baru ini.

“Ini pembohongan terang-terangan yang kedua terhadap janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 apabila Datuk Seri Najib Razak mengatakan untuk memendekkan tempoh tahanan pencegahan dan memperluaskan peranan mahkamah.

“Termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang sekaligus menamatkan penahanan tanpa bicara,” jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, kerajaan sebelum ini meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan kini pindaan PCA 2013.

Jelasnya, undang-undang sekalipun bertujuan baik untuk mencegah jenayah tidak boleh dipertahankan apabila ia mengenepikan prinsip-prinsip keadilan dan mencabul hak-hak asasi yang diperakui dunia.

“Pindaan PCA kini memperuntukkan Seksyen 19A yang membolehkan penahanan tanpa bicara. Malah Seksyen 15A dilihat menafikan semakan kehakiman di mana-mana mahkamah.

“Hakikatnya masalah jenayah di Malaysia memang serius, Pakatan Rakyat tiada berkompromi dalam soal pembanterasan jenayah, namun ia perlu ditangani dengan berkesan secara profesional oleh pasukan polis.

“Langkah-langkah paling berkesan ialah melaksanakan 125 syor-syor yang dirumuskan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005,” katanya.-MEM-

Tiada ulasan: