Ancaman denggi di Selangor berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan berikutan meningkatnya kes jangkitan dan kematian serta lokaliti wabak setakat minggu ke-40 tahun  ini.
  
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hari ini terdapat 11,498 kes dilaporkan setakat 5 Oktober lepas iaitu peningkatan 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
  
Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding  11 kes bagi tempoh sama pada 2012.
  
Dalam pada itu, sebanyak 230 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh Selangor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) daripadanya di daerah Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di daerah Gombak.
  
Jabatan itu dalam kenyataan menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti 'hotspot' atau wabak berlarutan di Selangor.
  
Selain itu, ancaman denggi di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan apabila 23,829 kes  dilaporkan tahun ini, iaitu meningkat 42.44 peratus berbanding 16,729 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
  
Sebanyak 52 kematian dilaporkan setakat ini berbanding 27 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.
- Bernama