Isnin, 21 Oktober 2013

1 Kalimah 2 Undang-undang: Al-Kitab Boleh, Herald Tak Boleh!?

KDN Boleh Larang Penggunaan Perkataan Memudaratkan Keselamatan Negara - AG

KELAB GREENBOC


KUALA LUMPUR: Inti pati daripada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes "The Herald" ialah Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk melarang penggunaan perkataan yang boleh memudaratkan atau berkemungkinan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam kenyataan hari ini, Abdul Gani berkata, selagi budi bicara itu dilaksanakan secara mengikut undang-undang, wajar, rasional dan mengikut kadarnya, maka mahkamah tidak akan campur tangan terhadap budi bicara menteri berkenaan dalam perkara ini.

"Jabatan Peguam Negara menasihati orang ramai supaya menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan serta mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah," katanya.

Abdul Gani membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap penghakiman pada 14 Oktober yang membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 31 Disember 2009.

Mahkamah Tinggi itu meluluskan permohonan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Titular) bagi mendapatkan semakan semula kehakiman terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009, yang melarang Titular daripada menggunakan perkataan 'Allah' dalam teks bahasa Melayu majalah The Herald.

Abdul Gani menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu hanya terhad kepada penerbitan teks berbahasa Melayu dalam majalah tersebut.

Menurut beliau, dalam perenggan 30 penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membuat keputusan bahawa Al-Kitab dan majalah itu adalah dua penerbitan yang berbeza sama sekali.

"Al-Kitab adalah versi Bible dalam bahasa Melayu bagi kegunaan penganut Kristian di gereja, manakala The Herald merupakan akhbar dalam talian yang boleh diakses oleh pembaca beragama Islam dan bukan Islam," katanya.

"Hakim itu seterusnya menyatakan bahawa oleh itu, kebenaran yang diberi menteri berkenaan bagi percetakan dan penerbitan Al-Kitab, yang mengandungi perkataan 'Allah', tidak boleh diambil kira sama seperti yang merujuk kepada The Herald," kata Abdul Gani.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara memutuskan bahawa perlindungan dari segi perlembagaan yang diberi kepada seseorang dalam mengamalkan agamanya, terhad kepada amalan yang integral dan menjadi bahagian penting bagi sesuatu agama.

"Mahkamah itu memutuskan bahawa penggunaan perkataan 'Allah' dalam versi bahasa Melayu The Herald bagi merujuk kepada 'Tuhan', bukan merupakan bahagian integral atau bahagian penting dalam agama Kristian dan oleh itu, tidak mewajarkannya diberi jaminan di sisi perlembagaan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan," jelas beliau. -Bernama

ULASAN GB

Pelik bin ajaib!

Pertama, apakah perkataan ALLAH itu dianggap memudaratkan atau berkemungkinan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam? Sebut nama ALLAH pun dikira memudharatkan keselamatan dan ketenteraman awam?

Kedua, yang terlebih pelik, pengharaman penggunaan perkataan ALLAH hanya terhad kepada penerbitan teks berbahasa Melayu dalam majalah Herald. Versi majalah tersebut di dalam bahasa lain boleh menggunakan perkataan ALLAH, dan bible Al-Kitab pun boleh. Apa kata para pejuang kalimah ALLAH sekalian? Okaykah macamtu

Tiada ulasan: