Khamis, 22 Ogos 2013

Zahid tarik balik saman RM10 juta terhadap Rafizi

 


 
Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik saman RM10 juta terhadap anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Awan Megah Sdn Bhd.

Perkara itu diselesaikan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Chong.

Ia ekoran Rafizi berpuas hati bahawa Zahid, kini menteri dalam negeri, tidak terlibat dengan pengambil alihan Awan Megah oleh Boustead.

Rafizi membaca satu kenyataan di mahkamah terbuka bagi maksud tersebut.

Dalam kenyataan itu, Rafizi berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Ahmad Zahid bahawa plaintif (Ahmad Zahid) tidak menyalahgunakan kuasa dalam apa-apa perkara atau apa saja dan tidak mempunyai peranan dalam keputusan Boustead Holdings Bhd, untuk menjalankan urus niaga bagi memperoleh saham Astacanggih Sdn Bhd dan tanah pembangunan daripada Awan Megah seperti yang dinyatakan dalam artikel saya bertarikh 29 Disember tahun lepas.

Oleh itu, tegas Rafizi, beliau tanpa ragu-ragu dan tanpa syarat menarik balik kenyataan yang salah dalam artikel beliau itu.

Rafizi, dalam mengulas mengenai perkara itu, berkata keputusan itu dicapai setelah beliau berpuas hati berdasarkan penjelasan Ahmad Zahid bahawa beliau tidak terbabit.

"Ini bukan meminta maaf kepada Ahmad Zahid," katanya.

Ahmad Zahid, yang hadir di mahkamah berjabat tangan dengan Rafizi selepas penyelesaian itu dicatatkan di mahkamah.

Rafizi diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan juga Latheefa Koya, manakala peguam Sashidaran Menon mewakili Ahmad Zahid.

Sashidaran juga peguam yang mewakili Awan Megah dalam saman mereka terhadap ahli perniagaan permaidani Deepak Jaikishian, yang akhirnya diselesaikan di luar mahkamah berikutan pengambilalihan oleh Boustead.

Ia telah dilaporkan pada awal tahun ini bahawa bekas menteri pertahanan telah memfailkan saman terhadap Rafizi berhubung posting beliau dalam blog bertajuk 'Dakwaan Deepak ada asas, wang rakyat disalah guna untuk menutup mulut Deepak'.

Tiada ulasan: