KUALA LUMPUR - Wisma Putra masih menyiasat bagi menentukan status kematian Tung Wei Fei yang dilaporkan meninggal dunia semasa berada dalam tahanan lelaki bersenjata Filipina, bersama sepupunya.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Wisma Putra berkata pihak keselamatan Filipina sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas nasib Wei Fei, 34.

"Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia serta Polis Negara Filipina (PNP) mengenai perkara ini," menurut kenyataan itu.

Pada 13 Nov tahun lepas, Wei Fei bersama sepupunya Tung Wei Jie, 26 diculik lelaki bersenjata Filipina di rumah sarang burung di ladang milik keluarga di Lahad Datu, Sabah dan dilarikan ke Jolo, selatan Filipina.

Pada 6 Ogos lalu, Wei Jie berjaya melarikan diri daripada tahanan di kepulauan Wilayah Sulu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa Wei Fei telah meninggal dunia akibat penyakit, pada 8 April ketika berada dalam kurungan.

Wee Jie kini di bawah jagaan PNP untuk direkod keterangannya sebelum diserahkan kepada pegawai Kedutaan Malaysia di Manila.

"Kedutaan Malaysia di Manila bekerjasama dengan PNP, Polis Diraja Malaysia dan keluarga Wei Jie untuk memastikan beliau selamat pulang ke Malaysia tidak lama lagi," menurut kenyataan itu. - Bernama