SHAH ALAM - PKR hari ini menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kes pembunuhan seorang model Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata pengumuman Mahkamah Rayuan mengenai pembebasan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis mengejutkan rakyat.

Tambahnya, pembebasan Koperal Sirul Azhar Omar dan Cif Inspektor Azilah Hadri menyebabkan pelbagai spekulasi timbul.

"Kita gesa tubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara itu, kita lihat banyak perkara yang menjadi tanda tanya selepas dua orang pegawai polis itu dibebaskan.

"Rakyat yang mengikuti perkara ini juga turut membuat spekulasi masing-masing dan turut dibincangkan di media sosial," katanya.