Rabu, 7 Ogos 2013

Tanding MKT: Dua lagi umum bertanding

 
Hasan Malek merasakan jawatannya sebagai menteri yang menjaga kepentingan pengguna dilihat mampu memberikan kelebihan kepadanya untuk memberi perkhidmatan berkesan kepada parti.



PETALING JAYA: Dua orang lagi pemimpin Umno mengumumkan akan bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 5 Oktober ini.

Mereka ialah bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zakarshi yang akan mempertahankan jawatan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek yang akan bertanding buat kali pertama.

Dr Puad yang kalah mempertahankan kerusi parlimen Batu Pahat pada pilihanraya umum Mei lalu berkata beliau mahu terus memberi sumbangan kepada parti.

“Walaupun saya tiada jawatan dalam kerajaan, ini tidak bermakna saya tidak boleh beri sumbangan idea dalam Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Sementara itu Hasan Malek merasakan jawatannya sebagai menteri yang menjaga kepentingan pengguna dilihat mampu memberikan kelebihan kepadanya untuk memberi perkhidmatan berkesan kepada parti.

“Saya mahu menyumbang sesuatu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, khususnya melibatkan kepentingan ramai, “ kata beliau.

Beliau baru-baru ini dikecam orang ramai apabila beliau berkata jangan makan ayam bila harga ayam naik bulan lepas.

Sehingga ini seramai enam orang sudah mengumumkan mahu bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno iaitu selain Dr Puad dan Hasan Malek ialah Datuk Seri Mustapha Mohamed, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Datuk Raja Nong Chik Raja Ishak.

Tiada ulasan: