Isnin, 19 Ogos 2013

Sudah 4 bulan kakitangan Kuin tidak dibayar gaji

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah sehingga sekarang gagal menyelesaikan gaji kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang telah tertunggak selama empat bulan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media menjelaskan tindakan tersebut umpama mendera 268 orang kakitangan yang terpaksa berdepan dengan kesulitan kerana tidak mendapat gaji.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Kedah sepatutnya lebih perihatin dan mengambil tindakan segera untuk menyelesai tunggakan gaji yang memasuki bulan keempat.

"Saya kesal dengan tindakan kerajaan BN Kedah yang sehingga sekarang gagal menyelesaikan tunggakan empat bulan gaji kepada 268 kakitangan KUIN.

"Ini merupakan satu penderaan kepada mereka, yang mana kebanyakkan mereka terpaksa berhadapan dengan tunggakan hutang, apatah lagi pada Hari Raya lepas mereka menyambut dalam keadaan kewangan yang tidak mencukupi," jelasnya di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang berdiam diri tanpa memberitahu jawatan mereka yang berada di dalam Kuin.

"Kita juga ingin mengetahui pendirian kerajaan negeri mengenai kedudukan jawatan kakitangan mereka di dalam Kuin.

"Ini perlu dijelaskan bukannya berdiam diri, kalau mereka hendak dipecat ia perlu diberitahu tetapi perlu diingat pemecatan mereka mestilah mengikut kontrak perjanjian bukan dengan cara membeku gaji mereka," sambung beliau lagi.

Jelasnya lagi, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengatakan Insaniah Holding Sdn Bhd tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri adalah amat mendukacitakan.

"Macam mana Mukhriz boleh kata Insaniah Holding tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri, sedangkan ia merupakan anak syarikat kepada Kuin yang merupakan syarikat kepada kerajaan negeri.

"Ini jelas terkandung dalam minit mesyuarat Lembaga Pengarah Kuin pada 29 Mei 2009 yang meluluskan penubuhan Insaniah Holding.

"Saya tak tahu dari mana maklumat beliau dapat, sebagai Menteri Besar beliau perlu lebih perihatin dan mengkaji dalam soal ini," sambung beliau lagi.

Mahfuz menegaskan kerajaan negeri perlu menyelesaikan segera pembayaran tunggakan gaji kakitangan serta lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Katanya lagi, jika ingin melakukan rombakan segalanya perlu mengikut perjanjian kontrak yang telah dipersetujui.

Tiada ulasan: