Jumaat, 30 Ogos 2013

Skuad Khas Charlie & Delta Tangani Jenayah Berat-Narkotik



Ahmad Zahid Hamidi.
 
PUTRAJAYA: Skuad khas 400 anggota yang dibentuk oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani jenayah berat dan juga narkotik akan dibahagi kepada dua skuad yang dikenali sebagai “Skuad Khas Charlie” dan “Skuad Khas Delta”.

Skuad Khas Charlie akan menangani jenayah berat manakala Skuad Khas Delta pula dadah dan narkotik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu temuramah eksklusif bersama mStar Online dan The Star di pejabatnya di sini pada petang Khamis menegaskan, keputusan untuk membentuk skuad khas ini, yang beroperasi dari Bukit Aman bukan hanya keputusan kementerian tetapi juga adalah keputusan kerajaan.

“Ini adalah keputusan kerajaan persekutuan bukan keputusan KDN atau PDRM dan kita membuat persediaan ke arah pembentukan skuad ini kerana kita menyedari yang kumpulan kongsi gelap ini akan mengambil tindak balas ke atas pihak berkuasa.

“Sebelum ini berlaku, PDRM telah mewujudkan dua skuad di bawah skuad khas ini yang kita namakan Skuad Khas Charlie dan Skuad Khas Delta. Charlie akan menangani kes jenayah berat manakala Delta kes narkotik berat,” jelas Ahmad Zahid.

Kepada soalan mengapa sekarang PDRM kelihatan memberi tumpuan khusus dan membentuk skuad khas ini bagi menangani permasalahan kumpulan kongsi gelap dan narkotik, Ahmad Zahid memberikan tiga faktor utama.

Pertama, selepas dibebaskan ekoran pemansuhan Ordinan Kecemasan dan Akta Kediaman Terhad, bekas-bekas tahanan ini kembali kepada tabiat lama dan mereka sekarang sedang dalam perebutan kawasan kawalan masing-masing.

Kedua, kata Zahid, mereka merancang dan sedang membalas dendam ke atas saksi-saksi yang sebelum ini telah mendedahkan kegiatan mereka.

Dan ketiga, tegasnya lagi, mereka mula membunuh mangsa-mangsa dengan tujuan untuk mendapatkan habuan.

Jelasnya, di bawah Akta Pertubuhan, mana-mana pertubuhan yang tidak didaftarkan boleh dianggap sebagai pertubuhan haram dan pihak berkuasa seperti polis boleh bertindak ke atas pertubuhan-pertubuhan haram ini.

“Ertinya kita ada kuasa untuk umum kepada khalayak ramai nama-nama pertubuhan haram ini sepertimana yang dilakukan oleh pihak kementerian pada hari ini (Khamis, 29 Ogos) supaya wujudnya kesedaran dengan harapan pihak awam akan bekerjasama dengan polis dalam menangani pertubuhan haram seperti kongsi gelap ini.

“Ini juga akan membantu orang ramai menyedari sekiranya terdapat pergerakan kongsi gelap di kawasan mereka dan dalam tindakan terbaru ini saya sendiri telah menandatangani pewartaan atau pengezetan untuk mengisytiharkan 49 pertubuhan kongsi gelap ini sebagai pertubuhan haram,” kata menteri itu lagi.

Menurut Ahmad Zahid, kewujudan begitu banyak kongsi gelap baru juga telah mendorong PDRM membentuk skuad khas ini.

Tegasnya, segala tindakan terbaru dan proaktif yang diambil oleh KDN dan PDRM ini ialah apa yang diputuskan oleh perdana menteri dan kabinet.

“Sama ada jenayah itu kecil atau besar, ia tetap menjejaskan kerajaan. Permasalahan jenayah telah menjadi faktor utama yang dibangkitkan oleh rakyat, selepas itu barulah ekonomi, sosial dan pendidikan,” kata Ahmad Zahid.

Tiada ulasan: