Jumaat, 23 Ogos 2013

Sirul, Azilah bebas pertuduhan bunuh Altantuya


OLEH RITA JONG

Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul bercakap dengan pemberita selepas penghakiman dibacakan di luar Mahkamah Rayuan. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Ogos, 2013. Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul bercakap dengan pemberita selepas penghakiman dibacakan di luar Mahkamah Rayuan. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari



















Dua bekas komando polis bebas hari ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengubah sabitan terhadap mereka atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Panel  tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan bekas ketua inspektor Azilah Hadri dan bekas korperal Sirul Azhar Umar.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh model dan penterjemah, Altantuya, 28, di hutan simpan di Shah Alam pada 2006.

 Mereka pada ketika itu bertugas di Unit Tindakan Khas Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak. Najib pada ketika itu ialah timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Keputusan ringkas selama lima minit yang dibacakan Tengku Maimun itu, beliau berkata hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan alibi pembelaan yang difailkan oleh Azilah.

“Tidak ada dalam asas penghakiman hakim perbicaraan bahawa beliau ada mempertimbangkan sama ada diari stesen itu menunjukkan kehadiran perayu pertama (Azilah) di Bukit Aman pada masa yang dikatakan. Dia tidak boleh berada di tempat kejadian.

“Dalam log panggilan dan ramalan liputan (yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk menunjukkan pergerakan Azilah pada malam pembunuhan), saksi daripada syarikat telekomunikasi meletakkan isu mengenai ketepatan log panggilan dan ramalan liputan itu.

“Adalah penting untuk hakim perbicaraan untuk melihat apa yang dibangkitkan pembela mengenai eksibit dan mencari dapatan sama ada wujud perbalahan atau kerosakan data, dan sama ada keaslian data berkenaan dipersoalkan atau tidak.

“Kesalnya, hakim gagal berbuat demikian dan ini menyebabkan salah arah yang serius hingga menjejaskan eksibit itu,” katanya.

Beliau berkata, hakim juga gagal memeriksa sama ada terdapat kontradiksi atau tidak konsisten dalam bahan bukti dan saksi pendakwa adalah material, dan sama ada wujud maklumat yang dibekalkan oleh perayu atau daripada sumber lain.

“Berkait dengan isu pemilikan dan kawalan bahan letupan, hakim perbicaraan juga gagal membuat dapatan lanjut untuk mengaitkan bahan letupan itu dengan perayu.  Dengan tidak membuat sebarang dapatan mengenai pemilikan perayu terhadap bahan letupan, hakim gagal menyelesaikan sambungan yang hilang, mengakibatkan satu lagi salah arah,” kata Tengku Maimun.

Beliau bersetuju dengan pihak pembela bahawa DSP Musa Safri, yang pada ketika itu dalam pasukan pegawai Najib patut dipanggil untuk membuka naratif terhadap asas kes pendakwaan.

Mahkamah turut mendapati hakim perbicaraan tidak menemui dapatan mengenai sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa terdapat pelan awal tersusun oleh perayu untuk melakukan pembunuhan itu.

“Melihat kepada keseluruhan keadaan, penghakiman kami ialah daripada kesan terkumpul dan salah arah oleh hakim perbicaraan menjejaskan sabitan,” kata Tengku Maimun.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, sementara Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Redzua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mewakili responden berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Sementara itu, Ketua Undang-Undang Nasional DAP, Gobind Singh Deo, berkata rayuan dibenarkan kerana kegagalan memanggil saksi material.

“Bukti terkuat sepatutnya ialah siapa yang memberi arahan dan kepada siapa ia diberikan. Bolehkah Peguam Negara beritahu kami siapa orang itu?” kata Gobind dalam akaun Tweeternya.

Tiada ulasan: