Jumaat, 2 Ogos 2013

Perkasa gesa ulama jelas hukum pegang anjing

Oleh Mohd Farhan Darwis


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta ulama memberikan penjelasan kepada umat Islam berhubung hukum memegang anjing.

Setiausaha Agung Perkasa, Sayed Hassan Syed Ali berkata demikian ketika mengulas isu video pelatih anjing Muslim yang tersebar luas sehingga menyebabkannya direman.
Video memaparkan Maznah bersama anjing peliharaannya yang menimbulkan kontroversi.Video memaparkan Maznah bersama anjing peliharaannya yang menimbulkan kontroversi.
"Saya minta ulama membuat penjelasan, ada orang Islam yang masih keliru hukum memegang anjing, sama ada dalam keadaan basah atau kering.

 "Hukuman juga perlu diambil, jangan sudah buat silap, minta maaf dan kemudiannya dibebaskan," kata Syed Hassan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ekoran insiden sambutan Aidulfitri bersama anjing yang menimbulkan kemarahan umat Islam Perkasa turut menggesa agar ulama di negara ini memberikan penjelasan khususnya kepada umat Islam soal halal haram kerana mereka melihat generasi muda semakin keliru dalam perihal hukum agama.

Syed Hassan berkata, pihak berkuasa agama yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam perkara itu seharusnya tampil memberikan pemahaman kepada generasi muda bagi membolehkan mereka jelas akan hukum dan panduan Islam.

"Isu ini sensitif.  Jika yang terlibat bukan Islam, mereka tidak memahami Islam, ini isunya pelakunya umat Islam sendiri, hukumannya lagi berat," katanya.

Syed Hassan berkata, walaupun video itu dibuat sejak tiga tahun lepas, ia masih lagi menjadi isu kerana umat Islam terlalu marah dengan perlakuan sedemikian.

“Kita bimbang, cara individu ini mungkin menjadi ikutan. Mungkin ilmu agama sesetengah daripada mereka ini tidak berapa mendalam," katanya.

Maznah Mohd Yusof  mencetuskan kontroversi menerusi video sambutan Aidilfitri bersama tiga anjing peliharaannya dimuat naik ke laman sosial yang dibuat pada tiga tahun lalu.

Beliau yang dikenali sebagai Chets direman selama dua hari selepas polis mendapatkan perintah reman dari Mahkamah Majistret di Segamat, Johor semalam.

Bagaimanapun,Maznah dibebaskan sebentar tadi.

Video berkenaan menunjukkan Chetz membawa tiga anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Chetz memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing itu)."

Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.

Sebelum ini, pasangan blogger seks Alvin Tan dan Vivian Lee turut ditahan atas kesalahan menghina Islam apabila memuat naik gambar mereka menikmati "bak kut teh" dengan disertakan logo halal dan ucapan selamat berbuka.

Tiada ulasan: