Selasa, 20 Ogos 2013

Perkasa: CCRIS kepada peminjam PTPTN tindas belia Melayu

OLEH MOHD FARHAN DARWIS



















Pengumuman Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ingkar akan dikenakan tindakan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah penindasan kepada golongan belia Bumiputera, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa).

Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) hak Melayu itu menegaskan, selain terus menghukum peminjam, yang majoritinya anak muda, tindakan diumumkan Idris itu juga akan menutup peluang belia Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan ekoran kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan.

"Ia satu bentuk penindasan. Saya cabar Idris Jusoh tuntut hutang pinjaman itu terlebih dahulu melalui mahkamah terhadap pelajar Melayu dan bumiputera.

 "Kerajaan kena ingat bahawa rakyat sudah ada pilihan. Rakyat boleh pilih pihak yang perjuangkan pinjaman itu dihapuskan atau pihak yang hendak CCRIS kan mereka," kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali (gambar), kepada The Malaysian Insider.

Idris ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi pendekatan melalui CCRIS,  peminjam PTPTN ingkar berkenaan akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya

"Institusi kewangan atau bank akan menilai dan menganalisis setiap pinjaman, baki pinjaman, rekod bayaran balik serta bilangan bulan tertunggak yang terlibat. Ini akan mempengaruhi kelulusan permohonan atau jumlah pinjaman," katanya.

Jelas ahli Parlimen Besut itu lagi, pelaksanaan CCRIS bagaimanapun tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.

Pada masa sama, Idris menjelaskan PTPTN turut merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenarai dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau Arahan Tetap bank.

"Silalah kumpulkan dari awal lagi kebencian rakyat kepada Barisan Nasional (BN)," tegas Syed Hassan lagi.

Mengenakan CCRIS kepada peminjam, katanya, akan menyukarkan lagi golongan belia mencari punca pendapatan setelah mereka sukar mendapat pekerjaan dalam keadaan peluang pekerjaan semakin sempit sekarang ini.

Idris berkata, peminjam juga mempunyai pilihan dengan membuat penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman mereka yang tertakluk kepada syarat ditetapkan PTPTN.

Syed Hassan bagaimanapun melihat daripada terus menghukum, Putrajaya seharusnya mengambil langkah yang lebih mudah dan tidak membebankan peminjam melalui potongan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kerajaan boleh ambil tindakan yang lebih mudah dan tidak membebankan peminjam terutama kepada yang sudah bekerja lima tahun ke atas baru boleh buat tuntutan pinjaman, yang tidak lagi bekerja bagaimana mereka mahu membayar balik?

"Bagi yang sudah bekerja lima tahun ke atas kerajaan boleh tuntut melalui KWSP peminjam. Bukankah ada tiga pecahan akaun dalam setiap pencarum KWSP?  Salah satunya akaun Kesihatan bersama Pendidikan. Tuntutlah dari akaun itu," cadang Syed Hassan sebagai alternatif kepada tindakan kerajaan.

"Apa pun saya ucapkan tahniah kepada Idris kerana keberanian beliau mengeluarkan kenyataan tidak popular menjelang pemilihan Umno tidak lama lagi.

PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar sejak 1 Julai 1997 sehingga 30 Jun lalu, dengan amaun keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.

Tiada ulasan: