Isnin, 19 Ogos 2013

Peningkatan kadar jenayah kegagalan 100 hari pentadbiran Najib, kata PAS

Oleh Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap di sidang akhbar di ibu pejabat PAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 19 Ogos, 2013. 

















PAS melihat peningkatan kadar jenayah dan kes bunuh melanda negara adalah kegagalan dalam 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya 2013.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan peningkatan kes jenayah bunuh menyumbang kepada kesejahteraan rakyat di samping peningkatan kos sara hidup dan juga hutang kerajaan yang semakin meningkat.

"Peningkatan jenayah dalam negara kita, ini pencapaian 100 hari yang cemerlang, jenayah bunuh meningkat sehingga menjejaskan keselesaan hidup rakyat," katanya secara sinis ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur hari ini.

 Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Najib juga gagal memberikan gambaran jelas proses pembinaan kehidupan rakyat, kerana masyarakat di negara ini masih lagi berjuang dengan beban kehidupan yang semakin meningkat.

"Najib tidak memberi gambaran jelas bagaimana proses pembinaan kehidupan rakyat. Tiada perubahan membantu ringankan beban hidup rakyat.

"Selepas pilihan raya rakyat terus dibebani harga barang yang meningkat, saya yakin harga ayam, daging tidak akan turun lagi selepas naik ketika Ramadan dan Hari Raya," katanya.

Mahfuz turut menyuarakan kebimbangan Najib mencontohi corak pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berbelanja besar dan mewujudkan banyak projek gajah putih.

"Pak Lah dalam bukunya mendedahkan jika beliau mengikut cara Dr Mahathir, Malaysia akan bankrap.
Saya khuatir Najib ikut cara Dr Mahathir," kata Mahfuz merujuk kepada pengganti Dr Mahathir Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Hutang negara juga semakin meningkat. Pada suku pertama 2013 sebanyak RM 508.9 bilion, berbanding RM501.6 bilion pada suku pertama 2012,” katanya.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa, kepimpinan Barisan Nasional (BN), terutama Umno dilihat lebih memposisikan kuasa mereka untuk Pemilihan Agung Umno yang dijadualkan pada Disember depan.

"100 hari pentadbiran Najib amat dukacita kerana tumpuan lebih banyak memposisikan dalam pemilihan agung Umno.

"Jadi beliau tidak dapat kenal pasti masalah dihadapi negara," dakwa Mahfuz.

Tiada ulasan: