Pengumuman kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selepas Aidilfitri ini disambut sinis sebuah kumpulan penentang saman ekor, Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Kumpulan yang rapat dengan PAS itu berkata, kenyataan itu tidak lebih daripada "ungkapan lapuk" yang hanya indah khabar dari rupa.

Penasihat Undang-undang KASE Zulhazmi Shariff berkata, ini kerana, pada masa yang sama, kerajaan terus meminta penerima saman AES membayar kompaun, sedangkan peguam negara pula menangguhkan semua prosiding sistem itu di mahkamah.

Menurut peguam itu, penangguhan prosiding itu dibuat sejak 18 Disember 2012 dan peguam negara menyebut, masalah berkaitan AES akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga hari dari tarikh itu.

Bagaimanapun, kataZulhazmi, sehingga hari ini, masih tidak diketahui apa keputusan kajian oleh Pejabat Peguam Negara.

"Baik kerajaan mahupun peguam negara, kedua-duanya tidak boleh diletakkan pengharapan untuk keadilan kepada pengguna jalan raya berkaitan AES ini," katanya.

Jumaat lalu, pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan bahawa isu penguatkuasaan AES akan dibincangkan selepas raya ini demi keadilan kepada semua pihak.

Menurutnya, isu itu perlu diselesaikan kerana kementeriannya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai AES kerana ia dilakukan oleh "pihak ketiga" dalam pengeluaran saman dan pungutan wang saman.

Zulhazmi berkata, sejak 2010 pihaknya telah melancarkan bantahan dan aduan termasuk menghantar Memorandum Kepada Majlis Raja-Raja berkaitan perkara itu tetapi "semuanya dibakul sampahkan oleh kerajaan".

Katanya, sistem itu dilaksanakan pada 22 September 2012, pelbagai kumpulan, persatuan pengguna dan parti politik, termasuk Umno sendiri membuat aduan, kritikan dan cadangan tetapi "kementerian memekakkan telinga".