Rabu, 7 Ogos 2013

Peneroka Felda usah terperangkap ajaran Syiah - Bernama

THE MALAYSIAN INSIDER

Peneroka tanah rancangan Felda diingatkan agar tidak mudah terperangkap atau terpengaruh dengan ajaran atau fahaman Syiah yang didakwa telah menular ke kawasan Felda, di negeri ini.

Anggota Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris berkata, walaupun ajaran tersebut belum disebar luas, namun peneroka tidak seharusnya mengamalkan ajaran yang ternyata songsang dan terpesong daripada Islam.

"Ajaran Syiah bertentangan sama sekali dengan Islam yang berpandukan al-Quran dan hadis, malah sesiapa yang mengamalkan ajaran songsang itu perlu bertaubat," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk Felda Kota Gelanggi, dekat Jerantut semalam.

 Ahmad Nazlan berkata, peneroka perlu melaporkan kepada pihak berkuasa agama jika sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyebaran ajaran tersebut di kawasan Felda.

"Kita tidak mahu ajaran salah tersebut bertapak di Felda kerana masyarakat tanah rancangan Felda kini sudah berada dalam keadaan aman dan makmur.

"Jika ajaran songsang meresapi ke Felda, maka sudah tentu ia akan berlaku perpecahan dalam kalangan penduduk dan akhirnya membahayakan keselamatan negara," katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: