Khamis, 22 Ogos 2013

Pemuda PAS serah sumbangan bantu rakyat Mesir

Harakahdaily,




KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa prihatin dengan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Mesir dalam tragedi yang menyayat hati.

Operasi pembantaian rakyat Mesir oleh rejim kudeta Mesir mencatat korban syuhada di Mesir seramai lebih 2,500 manakala 10,000 orang cedera.

Tentera Mesir bersikap kejam terhadap rakyatnya sendiri sehingga ada yang didera dengan begitu zalim dan mati dalam tahanan dan ada yang di bakar hidup-hidup.

Terpanggil dengan penderitaan itu, DPPM telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM45,000 kepada Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Islam Mesir (ILMAM) bagi membantu umat Islam di Mesir.

“Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada umat Islam Mesir melalui Ikhwanul Muslimin untuk keperluan mereka di sana termasuk membeli ubat-ubatan, pakaian, makanan, membiayai anak-anak yatim, ibu tunggal, dan lain-lain lagi,” ujar Bendahari DPPM, Ir Muhd Khairil Nizam Khiruddin.

Katanya, sumbangan itu diserahkan oleh beliau bersama Khairul Faizi Ahmad Kamil selaku Setiausaha DPPM kepada AJK Ilmam, Ustaz Abdul Rahman Tharin. Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut adalah Ust Syed Abdul Kadir Al Joffre selaku Naib Presiden ILMAM serta AJK ILMAM. (Gambar atas)

"Sumbangan ini adalah sedikit perkongsian kesedihan dan tangisan umat Islam seluruh dunia selain doa dan munajat yang dipanjatkan setiap hari untuk kesejahteraan mereka di sana," ujarnya lagi.
Jelasnya, ILMAM adalah sebuah NGO yang ditubuhkan pada 2010 bertujuan menjaga kebajikan graduan Mesir, membantu persiapan bakal mahasiswa Mesir dan menjadi mediator isu-isu di Mesir.

ILMAM mempunyai akses langsung dengan rakyat Mesir termasuk Ikhwanul Muslimin dan mampu menyalurkan maklumat serta hubungan dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin di sana selain rakyat Malaysia yang berada di bumi Mesir.

ILMAM menjadi semakin signifikan dengan berlakunya konflik berdarah di Mesir apabila pemimpinnya menjadi rujukan setiap golongan yang ingin mengetahui perkembangan di sana untuk mengulas, menterjemah atau memberi penerangan isu-isu yang berkaitan.

ILMAM dianggotai seramai lebih 1,000 orang ahli kesemuanya adalah graduan Mesir dan berada di setiap negeri.

Tiada ulasan: