Jumaat, 16 Ogos 2013

Peguam bawa RM1 juta ditawan di hotel Bukit Bintang


 

KL TODAY

Kuala Lumpur: Seorang peguam warga Arab Saudi berusia 43 tahun menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila diculik sekumpulan empat lelaki ketika sedang menghisap shisha di sebuah restoran dalam sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, sepanjang dikurung dan dijadikan tawanan hampir tiga hari, mangsa tidak dibenarkan menjamah makanan selagi tidak menyerahkan wang tebusan AS300,000 (RM983,326.67) kepada kumpulan terbabit.

Penderitaan mangsa bagaimanapun berakhir jam 12.30 tengah hari Selasa lalu selepas diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut sumber, polis juga menahan dua daripada empat suspek dan menyelamatkan mangsa kurang 24 jam selepas menerima laporan.


Sumber itu berkata, sebelum kejadian, mangsa bersendirian di restoran itu mendakwa didatangi empat lelaki tidak dikenali.

 “Kumpulan terbabit menutup kepala mangsa menggunakan bajunya sebelum memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta.

“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah apartmen di Cyberjaya sebelum dikurung,” katanya.Menurutnya, kumpulan terbabit memaksa mangsa memberikan AS300,000 (RM983,326.67) kepada mereka jika mahu dibebaskan. “Hasil maklumat diperoleh, satu serbuan dilakukan di sekitar ibu kota dan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya sudah menahan dua penjenayah dipercayai menculik mangsa untuk memeras ugutnya di sekitar ibu kota.

“Siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah itu mengetahui lelaki terbabit menyimpan wang tunai yang banyak di dalam bilik hotelnya,” katanya memberitahu, motif kejadian adalah untuk mendapatkan wang.

Katanya, biarpun begitu tiada serahan wang dilakukan mangsa kepada kumpulan terbabit dan pihaknya masih memburu dua lagi penjenayah.

Beliau berkata, semua yang ditahan akan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: