Selasa, 20 Ogos 2013
PAS: Zahid bercanggah dengan Najib dan KPN dalam isu cegah jenayah
Kuasa polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) membolehkan menahan suspek bagi tempoh 72 hari dan kenyataan Perdana Menteri yang tidak bersetuju menghidupkan semula undang-undang penahanan tanpa bicara adalah satu tamparan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dakwa PAS.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar), berkata dua hujah berkenaan dapat mengenepikan kemahuan Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri untuk menggembalikan Akta Ordinan Darurat (EO) untuk melawan jenayah berat yang semakin meruncing.
Katanya, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar membuktikan Ahmad Zahid tersilap selama ini memperjuangkan EO sebagai penyelesaian kepada jenayah dan kerana terdapat akta lain sepertimana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan EO membenarkan penahanan tanpa bicara selama 72 hari dengan perintah mahkamah.
“Apakah tujuan Ahmad Zahid memperjuangkan kembali EO? Adakah ia kerana kuasa menggunakan EO berpusat di tangan menteri, manakala akta lain memerlukan perintah mahkamah atau sekadar agenda tersirat beliau untuk mempertahan jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti akan datang?
“PAS menyokong pendirian yang diambil bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi supaya Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) sedia ada diperbaiki supaya memberi kuasa kepada polis untuk memerangi jenayah berat. Kami berharap akta ini tidak disalahgunakan kepada orang yang tidak bersalah dan untuk sebarang tujuan politik jahat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tuan Ibrahim turut menyampaikan ucapan tahniah kepada polis atas kejayaan menahan 200 suspek yang disyaki terbabit dengan jenayah berat baru-baru ini.
Katanya, pencegahan jenayah mesti dibuat sepanjang waktu dan kelalaian pihak berkuasa bakal menyebabkan penjenayah terus melakukan jenayah kerana merasakan operasi mereka berdepan laluan mudah.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri sambutan Aidilfitri di Kementerian Kewangan, berkata beliau tidak bersetuju dengan desakan mengembalikan penahanan tanpa bicara untuk mengekang peningkatan jenayah kerana penambahbaikan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) wajar seiring dengan hak asasi manusia dan tahanan tanpa bicara bercanggah kerana penjenayah tidak boleh dibuktikan melakukan jenayah.
Beliau menegaskan kerajaan memandang serius peningkatan kadar jenayah dan polis sedang menanganinya menggunakan akta sedia ada.
Katanya, kerajaan kini mencari keseimbangan sebaik-baiknya dari segi kesan hak asasi manusia dan kepentingan awam berdasarkan kepada hasrat kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat, kepentingan awam termasuk ketenteraman awam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan