Jumaat, 23 Ogos 2013
PAS: Siapakah yang membunuh Altantuya?
Persoalan berhubung siapakah pembunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibu timbul kembali berikutan dengan keputusan mahkamah hari ini.
Mohamad Sabu (gambar) menyatakan rasa terkejut beliau berhubung pembebasan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia itu oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Menurut Timbalan Presiden PAS itu, perkara seperti tu tidak seharusnya berlaku kerana pembebasan tersebut menambah lebih banyak persoalan yang belum terjawab.
“Saya amat terkejut dan tidak menyangka mahkamah akan membuat keputusan begini, jadi sekarang ini semua rakyat Malaysia tertanya-tanya apakah yang berlaku sekarang ini? Siapakah yang membunuh Altantuya? bagaimanakah Altantuya ini boleh terbunuh, adakah dia meletupkan dirinya sendiri atau bagaimana” kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu apabila dihubungi The Malaysian Insider.
“Seperti ada sesuatu yang tidak kena namun bila kita cuba nak suarakan keraguan nanti pihak kerajaan kata kita cuba menghina keputusan mahkamah, saya pula akan didakwa maka inilah yang rakyat kena terima maka kes ini akan dibiarkan tidak berkesudahan seperti kes lain yang melibatkan kalangan pemimpin tertinggi,” tambah beliau lagi.
Mohamad mengulas pembebasan dua bekas komando polis hari ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengubah sabitan terhadap tuduhan membunuh warga Mongolia itu pada 2006.
Panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan Azilah dan Sirul.
Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di hutan simpan, Shah Alam pada 2006.
Mereka pada ketika itu bertugas di UTK Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak.
Najib pada ketika itu merupakan timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.
Keputusan mahkamah hari ini turut mendapat perhatian dan menjadi topik bagi warga siber di Internet apabila rata-ratanya meluahkan kecurigaan.
Antara persoalan paling kerap diutarakan ialah bagaimana rupa bekas polis Azilah Hadri dan Siru Azhar Umar? Mengapa DSP Musa Safri tidak dipanggil memberi keterangan?
Dan soalan yang terus berada di ruang siber, siapa bunuh Altantuya?
Kebanyakan ulasan yang dibuat di talian bernada sinis dengan salah seorang pengguna Internet, Isana berkata: “Wow! Kalau begitu, Altantuya pasti masih hidup kerana tidak ada sesiapa membunuhnya. `Endless Possibilities’ hanya berlaku dalam 1Malaysia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan