Rabu, 14 Ogos 2013

PAS kesal PBT enggan pulang deposit poster PRU-13

 
Mohamad Hassan Tamby boleh beri jaminan bahawa PAS telah menurunkan dan membersihkan semua poster.



SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan melahirkan rasa kesal ke atas beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal memulangkan semula deposit poster Pilihanraya Umum ke -13 (PRU-13) sebanyak RM3,000, walaupun petugas PAS sudah menurun dan membersihkan segala bahan kempen seperti poster, banner dan billboard yang digunakan oleh calon PAS ketika kempen PRU-13 Mei lepas.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby berkata sikap PBT-PBT ini bersifat mendera Pakatan Rakyat.

“Kalau kita perhatikan di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, saya boleh memberi jaminan bahawa PAS telah menurunkan dan membersihkan semua poster, banner dan billboard calon PAS ketika kempen PRU, “katanya kepada FMT.

Beliau menambah mereka  cuma tidak menurunkan poster, banner dan billboard yang terletak dalam premis markas PAS. Kerana semua markas PAS merupakan tanah persendirian milik ahli PAS.

“Setahu saya poster, banner dan billboard calon Barisan Nasional yang masih ada belum diturunkan atau dibersihkan,” dakwanya.

Beliau berkata tinjauan rambang di sekitar Seremban, Ampangan, Paroi dan Senawang, pasti akan terserempak bendera Barisan Nasional yang masih berkibar di tempat awam.

“Soalan saya kepada PBT ialah apakah tindakan PBT berkenaan yang masih belum memulangkan wang deposit poster PRU-13 itu sebagai tindakan membalas dendam?” soalnya.

Beliau bertanya adakah ia berhubung kait dengan petisyen DUN Klawang di mana salah seorang defendan ialah Pengurus Pilihanraya untuk DUN Klawang yang juga merupakan Yang DiPertua Majlis Daerah Jelebu.

“Adakah ia berniat balas dendam? Ini merupakan kes pertama apabila sebuah PBT masih belum memulangkan wang deposit poster PRU-13,” kata Mohamad Hassan.

Mohamad Hassan berkata semua kerusi DUN yang ditandingi oleh calon PAS dan PKR di bawah Parlimen Kuala Pilah, wang deposit poster masih belum dipulangkan oleh Majlis Daerah Kuala Pilah.

“Adakah kakitangan PBT menurunkan sendiri bahan kempen terbabit atau PBT menggunakan kontraktor?” soalnya lagi.

Beliau berkata jika khidmat kontraktor digunakan, apakah pemilihan kontraktor itu dijalankan dengan tender terbuka.

“Berapa pula kos yang PBT berkenaan bayar kepada kontraktor di setiap DUN?” tanya lagi.

Alasan PBT

Beliau mendakwa  ini adalah  lanjutan dendam yang dilakukan PBT terhadap Pakatan Rakyat di mana menjelang PRU-13, sejak tahun lepas PBT begitu rajin dan sewenang-wenangnya menurunkan bendera PAS, PKR dan DAP tetapi membiarkan bendera Barisan Nasional di tempat awam.

“Apabila kita menuntut penjelasan, alasan yang diberikan oleh PBT ialah Barisan Nasional adalah parti yang memerintah. Adakah ini berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan?” soalnya.

Mohamad Hassan berkata sebelum ini ada PBT memberikan alasan bahawa  mereka menurunkan bendera PAS dan PKR kerana aduan orang awam.

“Mereka menurunkan bendera PAS dan PKR tidak sampai berapa jam kita naikkan. Pernah ada kes PBT menurunkan bendera PAS dan PKR di lewat malam di Ampangan,” ujarnya.

Beliau mempertikaikan  kenapa jika orang awam membuat aduan berhubung masalah longkang sumbat, jalan berlubang atau apa-apa sahaja aduan bersifat nadi rakyat, kenapa pula PBT berkenaan lambat ambil tindakan.

“Kenapa ‘urgency’ yang ada pada PBT menurunkan bendera PAS dan PKR tidak ada ketika menangani masalah aduan rakyat?” tanyanya.

Beliau  percaya ada tangan-tangan politik dalam PBT yang lebih berminat mahu mengenakan Pakatan Rakyat daripada berkhidmat untuk rakyat.

Tiada ulasan: