Oleh: Masdar Wahid
PETALING JAYA : Pakatan Rakyat akan melancarkan Belanjawan Alternatif 2014 sebagai bukti bahawa pakatan politik itu mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat berbanding kerajaan Umno-BN.
Oleh itu, bagi merealisasikan perkara itu satu jawantankuasa dianggotai golongan profesional dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah dibentuk hari ini.
Jawantankuasa ini akan dibantu Institut Rakyat, sebuah badan pemikir yang dibarisi pakar ekonomi dan akademik bagi memberi pandangan ke arah pembentukan Malaysia lebih baik.
“Antara yang turut dimuatkan dalam belanjawan ini termasuklah tawaran sebagaimana diumum dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu serta beberapa langkah lain yang akan diumumkan kelak,” kata wakil Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.
Bekas Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia itu akan memantau Kementerian Kewangan yang diterajui Datuk Seri Najib Razak.
Antara jawatankuasa yang hadir ialah Dr Ong Kian Ming(Ahli Parlimen Serdang), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu), Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), G.Manivanan (Kapar),Datuk Dr Idris Jauzi (Batu Pahat), Julian Tan (Stampin, Sarawak) dan Datuk Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju).
Sementara itu, Ong berkata, setiap pandangan Adun dan Ahli Parlimen Pakatan turut dikutip dalam penyediaan belanjawan itu selepas mereka mengumpulnya melalui dialog dengan pengundi di kawasan masing-masing.
“Setiap Adun dan MP Pakatan ini akan dibahagi kepada Sembilan kumpulan iaitu Antarabangsa dan Kebangsaan; Ekonomi dan Kewangan; Keselamatan; Pendidikan dan Pekerjaan; Pertanian, Perladangan dan Pembangunan Luar Bandar; Pengangkutan dan Pembangunan Bandar; Pengurusan sumber Alam; Masyarakat, Kebajikan dan Gender; serta Polisi melibatkan sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagi Raja Kamarul, sekretariat katanya memfokuskan keberkesanan belanjawan kepada rakyat dan bukannya semata-mata berapa banyak jumlah wang yang diumum sebagaimana amalan Umno BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan