Salleh Mat Rasid mengedarkan risalah keselamatan kepada penunggang motorsikal di Kuching hari ini. - Foto Bernama
SINAR HARIAN
Op Selamat bertema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi' kali ini berlangsung 15 hari bermula 1 Ogos dengan memfokus kepada keselamatan di jalan raya, rumah serta harta benda yang ditinggal pemilik ketika pulang ke kampung.
Salleh berkata bagi tempoh tiga hari pertama operasi itu dilancar, hasilnya didapati positif apabila kemalangan jalan raya dan kejadian pecah rumah dilihat menurun.
"Kita harap 'trend' ini akan berterusan, dan paling penting setiap orang mesti memainkan peranan untuk mematuhi apa juga undang-undang bila menggunakan jalan raya, dan jika pulang ke kampung meninggalkan rumah, lapor kepada pihak polis," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kontinjen Sarawak dan berkonvoi motosikal ke lokasi Op Selamat IPD Kuching di Jalan Matang.
Beliau juga berharap objektif Op Selamat akan tercapai dan kadar kemalangan, termasuk kemalangan maut, serta kes pecah rumah dapat dikurangkan.
Mengulas pergerakan kenderaan berat di laluan utama pada musim perayaan, Salleh berkata Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan rasmi melarang kenderaan berat memasuki kawasan yang ditetapkan, dan ia dikuat kuasa pada 6,7,16 dan 17 Ogos.
Beliau memuji langkah IPK Sarawak mengadakan pra-Op Selamat 3, yang dilihat sebagai satu pendekatan dan langkah yang baik agar masyarakat bersedia lebih awal sebelum memulakan perjalanan di jalan raya serta meninggalkan rumah semasa perayaan.
Mengulas kes seorang ahli perniagaan dari Kuching yang dilaporkan maut selepas ditembak di Penampang, Sabah semalam, Salleh berkata polis di kedua-dua negeri akan bekerjasama untuk menyelesaikannya.
Semalam, mangsa ditembak di kawasan parkir di depan sebuah restoran ketika keluar dari premis berkenaan dan sedang bercakap di telefon bimbit. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan