Sabtu, 3 Ogos 2013

Noh tak minat jawab Chua panggilnya 'orang gila'



 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata beliau tidak berminat untuk menjawab gelaran 'orang gila' yang dilemparkan presiden MCA susulan gesaannya agar Akta Hasutan digunakan untuk menyiasat ibu pelajar dalam kontroversi kantin sementara SK Seri Pristana.

"Saya tak mahu 'bertanding' dengan dia (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek), saya mahu fokus pada isu," katanya kepada Malaysiakini.

Jelasnya, walaupun beliau dilaporkan menerusi laman Facebooknya menggesa agar ibu pelajar yang memuat naik gambar pelajar bukan Muslim di kantin itu disiasat di bawah Akta Hasutan, ia sebenarnya dibuat dalam konteks menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan pengetua sekolah itu yang telah membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh.

"Guru besar telah buat laporan polis dan menjelaskan bagaimana perkara ini berlaku sehinggakan beliau diugut bunuh.

"Saya mendesak pihak berkuasa menyiasat laporan beliau kerana kita tidak boleh menafikan hak beliau untuk hidup aman dan bebas.

"Siasatan boleh dibuat polis atau pihak lain yang mungkin berdasarkan Akta Hasutan atau mana-mana peruntukan bawah akta multimedia.

"Saya tiada kuasa untuk arahkan polis secara spesifik menyiasat ibu pelajar itu di bawah Akta Hasutan," kata Noh kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun tetap mempersoalkan masa yang dipilih ibu pelajar berkenaan untuk membangkitkan soal kantin sementara itu.

"Bilik persalinan itu dah diguna semua pelajar Muslim dan bukan Muslim sebagai kantin sementara sejak bulan Mac lagi.

"Mengapa isu ini hanya dibangkitkan sekarang? Sudah pastilah bilik persalinan itu hanya digunakan pelajar bukan Islam dalam bulan Ramadan," tegasnya.

Bercakap lanjut, tanpa merujuk secara khusus kepada Chua, Noh menggesa agar mana-mana pemimpin politik menahan diri mereka daripada memberikan komen tentang isu tersebut jika mereka tidak turun ke padang meneliti perkara sebenar.

"Kepada pemimpin-pemimpin politik yang tidak mengetahui isu sebenar jangan membuat komen berdasarkan laporan media ataupun sumber media sosial sahaja.

"Saya nasihatkan mereka supaya turun padang seperti saya lakukan untuk mendapat penjelasan sebenar.

"Jangan cuba nak jadi hero tanpa mengetahui fakta sebenar," katanya.

Tiada ulasan: