Khamis, 22 Ogos 2013

Najib diminta jelaskan pelantikan Shahrizat

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) meminta Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan berhubung kewajaran pelantikan bekas menteri kabinet, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri dalam isu wanita.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, seperti kebiasaan, seseorang yang dilantik menjadi penasihat kepada perdana menteri atau mana-mana kementerian akan diberikan elaun atau gaji serta kemudahan-kemudahan lain.

Justeru tegasnya Najib harus memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana bayaran kepada jawatan Shahrizat akan melibatkan wang rakyat.

"Perdana menteri mestilah memberikan penjelasan kerana pelantikan ini adalah satu pembaziran.

"Kita sudah ada kementerian wanita jadi untuk apa wujudkan kedudukan penasihat yang akan jaga hal-hal wanita juga? Wajarkah wang rakyat yang membayar cukai digunakan untuk membayar elaun penasihat yang tidak penting?" kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Aiman juga berkata, pelantikan Shahrizat itu memberikan tamparan hebat kepada Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim.

Pelantikan itu katanya secara tidak langsung menunjukkan seolah-olah Najib tidak yakin dengan kredibiliti Rohani menerajui kementeriannya.

"Tidakkah ini memberi tamparan yang hebat kepada menteri yang sedia ada dan menunjukkan Najib seolah-olah tidak meletakkan kepercayaan kepada menteri yang ada untuk melaksanakan tugasnya?

"Atau adakah Rohani dilantik hanya untuk mengambil hati orang Sarawak memandangkan Rohani dari Sarawak?" soalnya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan pelantikan Shahrizat ada hubung kait dengan pemilihan Umno pada Oktober depan.

"Mungkin ini merupakan permainan politik dalam Umno sendiri Mungkin Najib terpaksa memberikan jawatan tersebut kepada Shahrizat atas desakan wanita Umno yang pro Shahrizat.

"Jawatan utama termasuk persiden akan dicabar jadi bagi memastikan wanita memberikan sokongan kepada beliau, Shahrizat harus diberikan jawatan khas," katanya.

Tambah Aiman juga, pelantikan itu juga dilihat sebagai penyambung kepada karier politik Shahrizat yang hampir musnah akibat terpalit dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan anggota keluarganya.

Shahrizat sebelum ini pernah dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri berhubung hal ehwal pembangunan wanita dan sosial pada 2008, walaupun beliau tewas dalam PRU12 pada tahun itu.

Tiada ulasan: