ALOR SETAR - Kolej Universiti Insaniah (Kuin) bakal menerima rektor baru yang lebih berpengalaman, berwibawa serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada bagi seorang rektor.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata satu temuduga telah berlangsung baru-baru ini melibatkan tujuh orang calon yang dikendalikan tokoh-tokoh akademik ternama yang dilantik dalam satu jawatankuasa khas.

"Jawatankuasa khas ini terdiri daripada tokoh-tokoh akademik termasuk exco kerajaan negeri (Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, Datuk Tajul Urus Md Zain) dan Datuk Azimi Daim (Setiausaha Politik) yang mewakili Pejabat Menteri Besar.

"Yang lain ialah tokoh-tokoh akademik yang dicadangkan Kementerian Pendidikan. Dalam masa terdekat akan dapat rektor baru yang sangat berkaliber sebab semua calon-calonnya adalah hebat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Perjumpaan diadakan sempena 100 Hari pentadbiran Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Mukhriz berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan petang ini untuk mendapatkan pandangan serta cadangan mengenai pelantikan rektor Kuin.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan pihak pembangkang supaya tidak  membangkitkan pelbagai isu berkaitan Kuin memandangkan mereka (kerajaan Pas) sendiri yang telah mewariskan banyak masalah berkaitan kolej universiti itu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tindakan itu akhirnya akan mengaibkan mereka sendiri apabila pelbagai masalah yang sebenarnya berpunca daripada mereka akan terbongkar, katanya. - Bernama