Jumaat, 9 Ogos 2013

MB Selangor sasar pengguna kenderaan awam meningkat 40 peratus


DSC_2763 (1)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mensasarkan peningkatan penggunaan kenderaan awam di kalangan rakyat negeri ini sehingga 40 peratus berbanding lima peratus pada masa ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah pengangkutan awam yang kian serius saban hari.

“Rakyat Selangor akan bersama-sama dengan kita dalam usaha mencari jalan untuk menyelesaikan kepadatan pengangkutan.

“Kita akan berusaha dengan kerajaan Pusat untuk menentukan peningkatan penggunaan perkhidmatan awam dengan mengambil kira beberapa perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Kerajaan Negeri di Dataran SUK di sini, hari ini selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Antara langkah penyelesaian awal, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada penyediaan lebih banyak lorong bas untuk membawa ramai penumpang.

Sebelum ini, beliau menyuarakan hasrat untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu kerajaan Pusat dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Beliau sendiri akan mengetuai jawatankuasa yang bakal ditubuhkan dan turut dianggotai exco negeri serta Unit Perancang Bandar dan Desa Selangor.

Tiada ulasan: