Selasa, 20 Ogos 2013

Mahfuz: Gagal lunas hutang Kuin tanda k'jaan lemah



 
Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan alasan Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir yang tidak mampu untuk membayar hutang pembinaan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) membuktikan kerajaan negeri lemah.

NONEMahfuz (kiri) yang juga pesuruhjaya PAS Kedah berkata, kerajaan BN negeri boleh memohon bantuan pusat bagi melunaskan hutang pembinaan kampus induk di Kuala Ketil yang menurutnya berjumlah kira-kira RM50juta setahun.

"Dia kerajaan negeri BN, dan kerajaan pusat BN. Takkan dia tidak mampu untuk mendapat back up daripada kerajaan pusat untuk membayar hutang.

"Memang kita (kerajaan Pakatan Rakyat) akui membuat (pinjaman) hutang dengan Bank Islam dan Affin Bank untuk membina kampus baru KUIN untuk menaik taraf jadi universiti penuh.

"Tiba-tiba, kerajaan sekarang berundur ke belakang. Kosongkan kampus sana dengan alasan tak mampu bayar hutang. Saya fikir, menteri besar tak mampu nak bayar hutang, (jadi) kerajaan (negeri ni) lemah betullah," katanya dalam sidang media hari ini.

Malah, katanya, berdasarkan rekod, kerajaan Pakatan melunaskan hutang kerajaan pusat berjumlah RM25juta yang ditinggalkan oleh BN sebelum 2008 bagi pembiayaan pembinaan bangunan baru pentadbiran di Wisma Darul Aman.

Mahfuz juga ahli parlimen Pokok Sena mengulas keputusan kerajaan negeri memutuskan untuk memindahkan semula semua fakulti di kampus Kuala Ketil ke kampus Kuin di Alor Setar.

Dedah minit penubuhan Insaniah Holdings

Beliau turut menyifatkan Mukhriz sebagai menteri besar yang lemah kerana didakwanya gagal meyakinkan kerajaan pusat untuk memohon bantuan bagi menyelesaikan masalah itu.

"Jadi saya kata kerajaan negeri lemah, menteri besar lemah kerana tidak boleh untuk meyakinkan kerajaan untuk memohon pertolongan kerajaan pusat," katanya.

Dalam sidang media itu juga, Mahfuz turut membangkitkan isu 268 kakitangan Insaniah Holdings Sdn Bhd yang didakwanya tidak dibayar gaji sejak Mei lalu dan status jawatan mereka kini ekoran kegagalan tersebut.

Sebelum ini Mukhriz pula dilaporkan berkata kerajaan Kedah akan mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah petugas Insaniah Holding yang tidak mendapat gaji, sejak Mei lalu sekalipun mendakwa tiada kaitan secara langsung dengan Insaniah Holding.

Mahfuz juga menolak kenyataan Mukhriz bahawa kerajaan negeri tidak ada kaitan dengan Insaniah Holdings memandangkan entiti itu merupakan anak syarikat Kolej Universiti Insaniah Sdn Bhd yang dimiliki oleh kerajaan negeri Kedah.

Beliau juga menunjukkan minit mesyuarat penubuhan Insaniah Holdings yang dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Kuin pada 29 Mei 2009 yang dipengerusikan oleh menteri besar ketika itu Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Lembaga itu juga menurutnya dianggotai antaranya setiausaha dan pegawai kewangan kerajaan negeri, mufti dan rektor.

Tiada ulasan: