Seorang lelaki yang sedang memandu kereta cedera parah selepas terkena
tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra,
dekat Chemor di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian
kira-kira 11.15 malam itu, dua lagi yang berada dalam kereta itu
dipercayai anggota keluarga lelaki berusia 29 tahun itu tidak mengalami
kecederaan.
"Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah bermotosikal menghampiri kereta
mangsa yang sedang dipandu di kawasan perumahan berkenaan dan dipercayai
melepaskan enam das tembakan," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Balai Polis Pekan Baru di sini hari
ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek memakai topi keledar 'full face' semasa
melakukan jenayah berkenaan dan identiti mereka tidak dapat dikenal
pasti buat masa sekarang.
Polis menjumpai enam kelongsong peluru di atas jalan tempat kejadian
berkenaan dan setakat ini polis menerima satu laporan daripada seorang
saksi berhubung kejadian itu, katanya.
Sum berkata mangsa yang bukan berasal dari sini sedang dirawat di
sebuah hospital di sini dan keadaannya dilaporkan stabil. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan