NILAI - Polis Diraja Malaysia merancang mewujudkan semula Ops Warta berikutan kegagalan pendekatan berhemah atau advokasi bagi mendidik pengguna jalan raya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
  
Beliau berkata Ops Selamat yang dilancar sepanjang perayaan Aidilfitri, bermula 1 Ogos lepas dan berakhir semalam, tidak memberi kesan memberangsangkan.
  
"Sepanjang tempoh itu, kes kematian yang melibatkan penguna jalan raya dilaporkan semakin meningkat, malah jumlah kemalangan yang menurunpun tidak begitu membanggakan. Kita perlu membuat sesuatu dengan lebih agresif, bukan hanya setakat memantau tetapi penguatkuasaan yang menyeluruh perlu segera dilakukan.
  
"Saya berpandangan bahawa untuk mengubah sikap pemandu kita ini agar lebih berhati-hati adalah dengan saman," katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan panel hakim penilai Anugerah Desa Sejahtera di Kampung Gebok, Mantin hari ini.
  
Khalid berkata walaupun pihaknya ada mengeluarkan saman pada Ops Selamat, namun ia sedikitpun tidak memberi kesan kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata sehubungan itu, antara pendekatan pertama yang akan diambil selepas ini ialah mencari pesalah trafik yang tidak membayar saman melalui Ops Warta dan tidak lagi menunggu sehingga musim perayaan untuk bertindak.
  
"Hanya pendekatan tegas sahaja yang boleh menyedarkan pengguna jalan raya untuk berubah.
  
"Punca utama kemalangan ialah akibat sikap mereka sendiri dan bukan faktor lain seperti kejuruteraan jalan raya," katanya.
  
Bagaimanapun, Khalid berkata keputusan akhir pelaksanaan Ops Warta hanya akan dibuat selepas mendapat laporan penuh Ops Selamat dalam tempoh satu atau dua hari lagi, selain perbincangan dengan pegawai lain di Bukit Aman.  
  
Ops Warta dilancar di seluruh negara pada 2000 bagi menangkap lebih 260,000 pemilik kenderaan yang dikeluarkan waran tangkap, namun masih belum menjelaskan saman masing-masing.  - Bernama