Jumaat, 23 Ogos 2013

K’jaan perlu dedah kos pampasan kepada 2 syarikat AES

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa mendedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada dua syarikat swasta yang mengendalikan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Beta tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd jika kerajaan berhasrat mengambilalih sistem tersebut.

kamera aes

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain jumlah pampasan yang akan dibayar, kerajaan juga perlu mendedahkan perjanjiaan yang ditandatangani sebelum AES dilaksanakan.

“Untuk mengambil alih AES sudah pasti satu bayaran pampasan yang tinggi perlu diberikan kepada kedua-dua syarikat pengendali tersebut.

“Kita minta kerajaan dedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika pengambilalihan tersebut dilaksanakan, selain itu juga kita turut mengesa agar kandungan perjanjian didedahkan untuk pengetahuan umum,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Mahfuz berkata, keputusan itu juga turut membuktikan kerajaan tidak cekap serta menunjukkan mereka tidak membuat kajian sepenuhnya berhubung pelaksanaan AES.

“Saya lihat kerajaan sebelum ini tidak mengkaji terlebih dahulu apa impak sebenar jika ia diberikan kepada syarikat swasta terutama kesan dari sudut kewangan dan kerugian yang akan dialami.

“Kita dari Pakatan Rakyat dari awal lagi membantah pelaksanaannya terutama jika dilihat dari sudut tekanan yang diberikan kepada pemandu yang diperah poket mereka untuk kayakan syarikat swasta serta menjadi sumber kewangan negara,” katanya dipetik Harakah Daily.

Beliau turut mempersoal kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa pelaksanaan AES akan mengurangkan jumlah kemalangan apabila melihat jumlah angka pada Ops Selamat yang dilancarkan pada 1 hingga 15 Ogos lalu mencatatkan 258 kes kemalangan maut iaitu meningkat sebanyak 14.2 peratus berbanding 226 kes tahun lalu.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff mengesa agar kerajaan menghentikan serta merta pelaksanaan AES sehingga selesai kajian oleh Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Malah katanya lagi, kerajaan juga perlu memulangkan kesemua bayaran yang dibuat oleh mereka yang dikenakan saman serta membatalkan saman-saman yang dikeluarkan sejak 22 September lalu sehingga sekarang.

Tiada ulasan: