Kerajaan Malaysia mungkin memasukkan 4 peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam belanjawan yang akan dibentangkan Oktober depan bagi menangani defisit fiskal yang meningkat kepada RM14.9 bilion, lapor akhbar tempatan.

The Malaysian Reserve, memetik Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai berkata, beberapa pembaharuan ekonomi untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara sedang dibincangkan.

"Saya tidak menolak (GST), ia dalam perancangan. Tetapi biar kita tunggu sehingga belanjawan. Ia pakej untuk semua orang," Mohd Irwan dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, jawatankuasa dasar fiskal sedang menerokai beberapa langkah, termasuk merasionalisasi subsidi dan membendung perbelanjaan kerajaan.

"Ini antara langkah-langkah dalam perancangan. Perdana menteri akan mengumumkannya pada hari belanjawan dibentangkan," beliau dipetik sebagai berkata.- Reuters