Ahad, 25 Ogos 2013

Khairy: Najib tak akui laporan Utusan

 


 
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memperakui laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Apa lagi Cina mahu' yang mencetus kontroversi sejurus selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Bagaimanapun, laporan berhubung peralihan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat itu berbeza dengan kenyataan Najib ketika mengulas keputusan pilihan raya tersebut, kata Khairy.

Khairy berkata demikian dalam sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ketujuh di Kuala Lumpur petang ini.

"Beliau hanya membuat pemerhatian dan tidak menyalahkan mana-mana komuniti. Tajuk utama akhbar itu dan pendirian perdana menteri adalah berbeza," katanya.

Mengulas perkara tersebut, Khairy menegaskan bahawa Utusan bertindak dengan salah apabila menyiarkan laporan seperti itu.

"Perdana menteri komited dengan pendekatan 1Malaysia sehingga ke hari ini.

"Beliau boleh berkata yang kita tidak dapat sokongan Cina dan perlu melupakan 1Malaysia dan hanya beri tumpuan kepada mereka yang menyokong kita.

"Tetapi beliau konsisten agar kita kekal dengan dasar yang bersifat menyeluruh," katanya.

Khairy ditanya mengenai tindakan perdana menteri yang tidak mengambil tindakan ke atas Utusan ekoran laporan yang didakwa ramai pihak sebagai bersikap perkauman itu.

Najib sendiri ketika ditanya mengenai laporan kontroversi tersebut pada 7 Mei lalu mempertahankan laporan berkenaan.

"Anda menyalahkan Utusan tapi anda tidak bertanya tentang akhbar Cina," kata Najib.

Najib menyebut bahawa akhbar Cina pun menyiarkan jenis
berita yang sama, sebelum meninggalkan tempat sidang akhbar.

Najib juga berkata masyarakat Cina telah terpengaruh dengan pembangkang dan bertanggapan bahawa undi mereka boleh membawa perubahan dalam kerajaan.

Tiada ulasan: