Jumaat, 9 Ogos 2013

Kes tembakan: P Pinang tukar slogan, tambah CCTV

OLEH DIYANA IBRAHIM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meluahkan kebimbangan terhadap tiga kejadian tembak membabitkan senjata api hingga meragut satu nyawa dan satu lagi cedera parah yang dilaporkan berlaku di negeri itu semalam.

Katanya, kes jenayah membabitkan senjata api kini menjadi perkara utama kepada kerajaan negeri untuk membanteras keganasan yang semakin berleluasa sehingga menimbulkan panik di kalangan orang awam.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berhasrat menukar slogan kerajaan negeri dari Penang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat kepada Penang Selamat, Bersih, Hijau dan Sihat.

"Saya telah bercakap dengan Ketua Polis Pulau Pinang, dia memberitahu saya polis kini sedang melakukan sebaik mungkin bagi mengawal situasi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Memahami situasi polis di negeri itu yang tidak mempunyai jumlah anggota yang cukup kerajaan negeri akan bersama-sama dengan polis bergabung tenaga mencegah jenayah terus merebak dan menjadikan Penang sebagai negeri yang selamat kembali.

Antaranya ialah dengan menubuhkan Unit Kawalan Rondaan Sukarelawan di setiap komuniti kawasan perumahan.

Malah Kerajaan Negeri juga akan segera menambah sebanyak 125 lagi kamera pengawasan (CCTV) yang nilainya berjumlah RM 3 juta.

"Kita sasarkan tambahan sebanyak 70 kamera rakaman pengawasan dipasang bawah seliaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan 55 lagi di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),"kata Guan Eng lagi.

Lim memberitahu untuk mengatasi masalah kekurangan anggota polis memantau kamera rakaman pengawasan, kerajaan sendiri akan membiayai pekerja tambahan untuk melakukan pemantauan.

Langkah ini dibuat bagi memastikan tugas polis untuk mengawasi jenayah tidak terjejas seterusnya dapat meningkatkan tahap keyakinan orang awam.

Ketua Menteri itu juga turut menyeru kerjasama dari semua pihak dimana orang awam bukan saja diminta memberi informasi kepada polis namun digalakkan turut membuat laporan polis bagi memastikan rekod jenayah yang tepat dicatat

Tiada ulasan: