Ahad, 25 Ogos 2013

KEADILAN: Mahkamah Rayuan patut bicara semula kes Altantuya

Oleh: Mohd Arif Juhani

PETALING JAYA : Sekiranya Mahkamah Rayuan mendapati wujud kecacatan dalam penghakiman di Mahkamah Tinggi berhubung kes bunuh Altantuya, mahkamah sepatutnya mengadakan perbicaraan semula dan bukan membebaskan tertuduh.

IMG_5319

Ahli Majlis Perwakilan Pusat (MPP) KEADILAN,  Sivarasa Rasiah berkata, kecacatan pendakwaan itu bukan pertama kali berlaku kerana sebelum itu, mahkamah turut membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda selepas gagal mengaitkannya dalam kes itu.

“Contoh kecacatan yang dimaksudkan ialah apabila saksi penting seperti (DSP) Musa Safri tidak dipanggil.

“Mahkamah Rayuan sepatutnya bicarakan semula kes ini berdasarkan kuasa yang diberikan dalam undang-undang iaitu Seksyen 60 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 yang membolehkan hakim memerintahkan suatu perbicaraan semula ketika rayuan diadakan,” ujarnya dalam sidang media bersama Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua di Ibu Pejabat parti itu hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, penghakiman dibacakan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan berlaku penyalaharahan serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan tertuduh.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri dan kegagalan mengemukakan diari balai polis yang menyatakan Azilah berada di Bukit Aman pada masa kejadian.

Menurut Sivarasa, selain Musa, saksi penting yang patut dipanggil adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas setiausaha sulit Najib selama 20 tahun, Nasir Safar; dan adik Najib, Datuk Nazim Razak.

“Semua saksi ini penting bukan untuk membuktikan kesalahan Sirul dan Azilah tetapi untuk membuktikan siapakah yang mengarahkan kedua-dua orang tertuduh itu membunuh Altantuya,” katanya.

Selain itu tiga nama yang disebut, saksi penting yang baru ialah ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan; peguam Americk Singh Sidhu dan Cecil Abraham.

Justeru katanya, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat kecacatan dalam pendakwaan kes berkenaan.

“Pendakwaan kedua ini cacat dan skrip ulangan yang melucukan kerana mahkamah gagal mengenalpasti dan mendakwa individu yang mengarahkan pembunuhan terhadap Altantuya dilakukan. Ini menyebabkan sistem keadilan di Malaysia hancur di mata dunia.

“Justeru saya mendesak sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi memulihkan kembali imej dan kredibiliti mahkamah,” ujarnya.

Tiada ulasan: