Jumaat, 23 Ogos 2013

Karpal panggil PM, Musa Safri dalam tuntutan sivil bapa Altantuya

OLEH RITA JONG



















Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas pegawai khasnya, DSP Musa Safri akan disapina untuk memberi keterangan dalam tuntutan sivil yang difailkan Setev, bapa Altantuya Shaariibuu.

Peguam Karpal Singh (gambar), yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak Setev, berkata beliau akan mendesak tuntutan itu didengar tidak lama lagi.

Setev memfailkan tuntutan sivil RM100 juta terhadap Abdul Razak Baginda, Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan kerajaan Malaysia pada Jun 2007.

 Tuntutan itu ditangguhkan berikutan memberi laluan terlebih dahulu kepada rayuan yang difailkan Azilah dan Sirul. Kedua-dua anggota polis itu dibebaskan hari ini sementara Razak yang dituduh bersubahat dengan kedua-duanya itu dibebaskan pada Oktober 2008.

“Kita kini akan memanggil perdana menteri dan Musa. Musa tidak boleh bertindak sendiri,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Karpal berkata, di sebalik pembebasan Azilah dan Sirul, Setev masih mempunyai jalan menerusi tuntutan sivil.

“Ini akan menjadi peluang membuktikan salah di atas keseimbangan kemungkinan.

“Saya akan mengaktifkan tuntutan itu untuk kes itu ditetapkan bagi pengurusan kes,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada kemungkinan tuntutan kes itu kekal ditangguh berikutan rayuan yang mungkin difailkan Pejabat Peguam Negara berikutan keputusan mahkamah hari ini.

Ketika ditanya sama ada pembebasan itu akan dibawa kepada tuntutan sivil, Karpal berkata,`ya’.

“Kita masih boleh menggunakan ini untuk menghukum mereka. Kes pemain bola Amerika, OJ Simpson contohnya. Dia dibebaskan atas tuduhan membunuh isterinya, tetapi kemudian didapati boleh dihukum menerusi tuntutan sivil atas kematian isterinya dan diperintah membayar kemusnahan,” katanya.

“Perkara ini (merujuk kepada kes Altantuya) adalah perkara serius. Seseorang datang ke negara kita, diletupkan dan akhirnya tidak ada sesiapa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.”

Karpal juga mengkritik pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes itu.

“Mereka patut dipertanggungjawabkan atas kecacatan yang berlaku,” katanya merujuk kepada beberapa perkara yang dibangkitkan panel Mahkamah Rayuan dalam penghakiman mereka pagi ini.

“Ia menunjukkan mereka tidak melakukan tugas sebaiknya,” katanya

Tiada ulasan: