Jumaat, 2 Ogos 2013

Jelaskan kuasa ROS arah DAP adakan pemilihan semula CEC – Kit Siang

 03.06.13-LKS-ceramah kluang-perjuangandi teruskan (9)

 Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bermakna ROS menafikan hak 753 perwakilan menghadiri kongres itu, Disember tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ROS perlu berterus-terang mengenai perkara itu kerana DAP dan rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa dan dengan kuasa apa ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC yang dipilih pada kongres parti di Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

Beliau juga mencabar Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman menyatakan sebab sebenar arahan itu secara jelas supaya DAP boleh mendedahkan pembohongan berkenaan.

 “Bilik Perang UMNO/Barisan Nasional (BN) melaburkan banyak sumber, kakitangan dan puluhan juta ringgit sejak enam bulan lalu untuk melaksana strategi dua mata iaitu “memburuk-buruk dan memusnahkan” DAP (kempen “DDD”).

 “Mereka juga menyebar pembohongan mengenai DAP yang kononnya membiayai “Tentera Kacang Merah” yang dianggotai 3,000 cybertrooper dengan peruntukan antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan peribadi pemimpin UMNO/BN dan menghidupkan cerita palsu mengenai penyelewengan dalam pemilihan CEC ketika Kongres DAP Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

 Menurut Kit Siang, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, penggerak UMNO/BN meneruskan kempen mendesak ROS bertindak terhadap DAP, antaranya menuntut agar pemilihan CEC diisytihar tidak sah supaya pendaftaran DAP dibatalkan atas alasan penyelewengan dan penipuan pada pemilihan CEC Disember tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, mereka juga mendakwa kononnya 753 perwakilan DAP tidak dimaklumkan mengenai Kongres DAP pada Disember tahun lalu seperti yang disyaratkan dalam perlembagaan parti dan kerana itu mereka dinafikan hak untuk menghadiri kongres berkenaan dan memilih anggota CEC.

 “Isu “753” itu diguna untuk menuduh DAP sebagai anti-kaum India kerana kononnya sebahagian besar daripada “753” perwakilan terbabit berketurunan India dan sebab itu mereka didiskriminasi dan dinafikan hak untuk menghadiri Kongress serta mengundi pada pemilihan CEC.

“Kedua-dua tuduhan berkenaan sama sekali tidak tepat. 71 peratus perwakilan menghadiri Kongres Parti (untuk mencukupkan korum, hanya 25 peratus daripada ahli yang layak menjadi perwakilan) daripada jumlah keseluruhan 2,576 perwakilan. Ini adalah rekod kehadiran yang tinggi dan amat tidak benar jika ada pihak mendakwa ketidakhadiran perwakilan kerana konspirasi yang digerak dengan tidak memberi notis yang wajar.

Jika asas itu digunakan, nescaya kesahihan persidangan semua parti politik atau pertubuhan boleh dipertikaikan,” katanya.

 Kit Siang berkata, DAP telah bekerjasama dengan ROS dan memberikan bukti bahawa notis kongres diberikan kepada semua perwakilan seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti, manakala perwakilan berketurunan India yang tidak hadir hanya kira-kira 100 orang, bukan 700 seperti yang didakwa propagandis UMNO/BN.

 Katanya, pembohongan kedua yang paling ditonjolkan dalam kempen ialah tuduhan liar bahawa pemilihan CEC DAP itu disertai “perwakilan hantu” yang pada mulanya jumlah mereka dikatakan seramai 300 orang tetapi kemudiannya meningkat kepada 547 orang.

“Adakan Ketua Pengarah ROS menganggap pembohongan mengenai 547 “perwakilan hantu” pada Kongres DAP di Pulau Pinang itu sebagai suatu dakwaan kukuh dan jika benar, maklumkan kepada DAP.

 “Selain dua pembohongan itu, alasan yang dimiliki ROS hanya gangguan kecil membabitkan komputer sewaktu Kongres DAP, di mana gangguan itu tidak membawa kepada kesilapan pengiraan atau penjadualan undi, sebaliknya cuma pada tahap pengumuman keputusan, iaitu apabila seorang calon, Vincent Wu, diumumkan sebagai pemenang, sedangkan pemenang sebenar adalah Zairil Khir Johari.

“Kesilapan itu sudah dibetulkan. DAP telah memberi penjelasan penuh mengenai kesilapan itu kepada pegawai ROS dan mengemukakan semua dokumen dan bahan berkaitan.

 “Jadi, apa asas untuk Ketua Pengarah ROS mengarahkan agar pemilihan semula CEC diadakan. Ketua Pengarah ROS harus menjelaskan kepada DAP dan negara ini mengapa beliau tidak berpuas-hati dengan penjelasan yang diberi DAP, selain menerangkan kuasa apa yang beliau gunakan untuk mengarahkan pemilihan semula CEC,” ujarnya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: