Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: Jika niat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi hanya sekadar ingin mempermainkan perasaan para keluarga tahanan ISA dan meraih populariti murahan, maka Suaram mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menyifatkan ia sebagai kejahilan menteri dalam menjaga sensitiviti tahanan ISA dan keluarga.
Penyelaras Suaram, Syukri Razab berkata, kenyataan menteri itu yang mengatakan keluarga tahanan ISA bakal mendapat ‘berita baik’ menjelang hari raya yang lepas nyata sekadar kenyataan yang tidak tanggungjawab dan tidak peka dengan sensitiviti tahanan dan keluarga tahanan.
Tambahnya, tidak cukup dipisahkan secara berpanjangan, para tahahan dan keluarga semestinya lebih menderita dengan kenyataan Menteri yang seolah-olah memberi janji palsu.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Julai itu hanya menyebabkan keluarga tahanan ISA semakin terluka akibat harapan yang dipermainkan.
Sehingga hari ini, jelasnya 8 orang tahanan ISA masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting.
“Data ini adalah berdasarkan rekod perintah tahanan yang dimiliki Suaram. Daripada 8 tersebut, 5 adalah warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Indonesia dan seorang warga Filipina,” ujarnya dalam satu kienyataan.
Ini, katanya merupakan kali kedua para tahanan dan keluarga diberikan harapan palsu oleh pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, kali pertama ialah sewaktu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA pada 15 September 2011 yang disambut penuh gembira oleh tahanan ISA dan keluarga.
Namun, kata Syukri tahanan terus hampa apabila mereka terus ditahan walaupun selepas 2 tahun pengumuman itu dibuat.
Sehubungan itu, ujarnya Suaram menuntut Menteri Dalam Negeri untuk lebih bertanggungjawab atas sebarang kenyataan yang dibuat.
“Sebagai seorang bekas tahanan ISA yang pernah meringkuk di Kem Tahanan Kamunting, Datuk Seri Zahid Hamidi seharusnya lebih faham mengenai sensitiviti keluarga yang perlu dihormati,” katanya.
Tambah beliau lagi, tindakan memberi harapan tanpa tanggungjawab tidak ubah seperti menambah hukuman terhadap keluarga tahanan yang sudah sekian lama dizalimi oleh ISA.
Menurutnya, Suaram percaya, Zahid Hamidi selaku Menteri yang bertanggungjawab tidak pernah mengetahui dan memahami keperitan yang dilalui oleh para isteri dan anak-anak tahanan ISA.
“Maka atas sebab itu Zahid Hamidi tampak jahil apabila sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur harapan tanpa disusuli dengan tindakan yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Suaram juga, kata beliau ingin melahirkan rasa hairan di atas keengganan pihak Kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri untuk membebaskan baki tahanan ISA.
Beliau berkata, pihak menteri tidak pernah memberi alasan yang kukuh mengapa penahanan ini diteruskan meskipun jumlah tahanan ISA sudah terlalu sedikit.
“Penahanan ini bukan sahaja meneruskan kezaliman ISA bahkan memperlihatkan seolah-olah Menteri sengaja ingin menunjukkan kuasa yang dimilikinya dengan menangguh-nangguhkan pembebasan,” katanya lagi.
Oleh itu, ujarnya Suaram ingin menyuarakan tuntutan berikut kepada Menteri Dalam Negeri:
Pertama, Menteri Dalam Negeri perlu memohon maaf kepada Keluarga tahanan ISA di atas harapan palsu yang diberikan.
Kedua, Menteri Dalam Negeri perlu membebaskan dengan segera kesemua baki tahanan ISA tanpa syarat.
Ketiga, Menteri Dalam Negeri perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat semua dakwaan salah laku Polis terhadap tahanan sepanjang mereka ditahan di bawah ISA dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan