Sabtu, 24 Ogos 2013

Indeks komposit jatuh, jejas rakyat pendapatan rendah

Anis Nazri,
 
KUALA LUMPUR: Indeks komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) yang mengalami kejatuhan 32.94 mata atau 1.85 peratus, baru-baru ini dijangka akan memberi kesan penurunan kepada nilai mata wang negara.

Biarpun, terdapat beberapa pihak yang beranggapan perkara itu turut dialami pasaran serantau lain, kekhuatiran mengenainya perlu dilihat kerana ia akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad, menegaskan golongan berpendapatan rendah ini akan menghadapi kesan langsung sekiranya nilai mata wang negara mengalami penurunan.

"Berlatarbelakangkan Malaysia yang terbeban dengan hutang yang tinggi, seperti hutang korporat, hutang KDNK dan juga hutang isi rumah, maka Malaysia terdedah dengan ciri-ciri yang membolehkan berlakunya penurunan nilai mata wang," kata beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Jelas beliau lagi, apabila negara berdepan dengan penurunan nilai mata wang, ia tidak mampu berdepan dengan keyakinan pelabur, dan tidak mampu meningkatkan kadar faedah.

"Sekiranya kerajaan ingin meningkatkan semula kadar faedah, orang yang berhutang tadi seperti hutang isi rumah akan menghadapi bebanan yang lebih tinggi kerana terpaksa membayar faedah yang lebih tinggi," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegas Dzulkefly, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan melakukan tindakan segera bagi memperkukuhkan nilai mata wang dari terus menjunam.

Antara langkah segera yang boleh dilakukan, saran Dzulkefly, kerajaan boleh menjual semula mata wang asing agar dapat memberi dokongan kepada mata wang negara.

Kerajaan juga, tegas Dzulkefly, digesa segera mengadakan komunikasi dengan kelompok pelabur, agensi penarafan dan penganalisis ekonomi supaya mereka dapat memahami apa langkah kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terjamin.

Malaysia, tambah Dzulkefly mempunyai ciri-ciri negara yang mengalami nilai mata wang bermasalah apabila berhadapan dengan defisit fiskal yng dikatakan perbelanjaan melebihi pendapatan, mengalami pertumbuhan yng menguncup, selain mempunyai pegangan bon asing yang tinggi.

Tiada ulasan: