TEMERLOH – Hasrat seorang pesara guru berbelanja bonus pencen khas Aidilfitri tidak kesampaian apabila akaunnya di Bank Islam cawangan Temerloh didakwa  ditutup.

Pesara berkenaan, Umar Hashim Awang Kechik, 74, berkata, dia cuba mengeluarkan bonus pencen sebanyak RM250 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Tabung Haji tetapi mendapati wang tersebut tidak dimasukkan.

Beliau kemudiannya pergi ke Bank Islam di sini dengan harapan dapat mengeluarkan wang tersebut melalui kaunter tetapi kakitangan cawangan bank berkenaan memaklumkan akaunnya telah ditutup.

“Selama ini akaun itu yang digunakan mengeluarkan wang pencen. Saya pun tidak tahu siapa yang menutup akaun tersebut, sedangkan saya sebelum ini tidak pernah meminta pihak bank menutup akaun saya.

“Selepas ini saya tidak tahu bagaimana hendak mengeluarkan wang pencen jika betul akaun bank saya ditutup,” katanya.

Beliau yang tinggal di Taman Temerloh Jaya telah bersara sejak 19 tahun lalu berharap pihak bank atau jabatan berkaitan pengeluaran pencen membuat siasatan dan penjelasan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.