PEKAN - Menteri Kabinet atau Anggota Parlimen boleh menggunakan anggota keluarga mereka sebagai pembantu khas di kawasan parlimen masing-masing, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perdana menteri berkata mereka boleh menggunakan khidmat anggota keluarga asalkan tidak menggunakan peruntukan kerajaan atau mencampuri urusan dalam kementerian.

"Ini prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh ditempatkan di pejabat menteri," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Taman Tasik Abu Bakar di sini hari ini.

Merujuk kepada anak lelaki Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, perdana menteri berkata beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Nazri bahawa anaknya, Muhammad Nedim, hanyalah menjalankan tugas sebagai pembantu khas bagi membantunya secara sukarela di kawasan Parlimen Padang Rengas.

"Jadi tiada wang kerajaan yang digunakan untuk membiayai kerja-kerja yang anak beliau lakukan kerana itu kerja sukarelawan semata-mata," katanya.

Ditanya tindakan pihak pembangkang terus mempolitikkan isu itu, Najib berkata pembangkang sebenarnya dilihat lebih teruk daripada isu yang dibangkitkan mereka itu.

"Saya difahamkan ada juga amalan yang lebih berat daripada itu dilakukan oleh pemimpin parti pembangkang, tetapi ia terpulang pada pihak lain untuk tentukan perkara ini," katanya.

Mengulas mengenai pemindahan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir, perdana menteri berkata kerajaan akan membuat persiapan logistik sekiranya keadaan di negara itu semakin tidak terkawal.

"Kita buat persiapan logistik jika keadaan lebih buruk berlaku, kita tiada pilihan selain membawa pulang rakyat kita di sana terutamanya pelajar-pelajar kita, kita kena utamakan keselamatan mereka," katanya. - Bernama