Khamis, 15 Ogos 2013

Gagal atasi kes tembakan, KPN didesak letak jawatan

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Tan Sri Khalid Abu Bakar segera meletak jawatan ekoran kegagalan Ketua Polis Negara (KPN) itu menangani kes jenayah tembak yang berlaku hampir setiap hari sejak akhir-akhir ini, kata Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin.

“Sejak Khalid dilantik sebagai KPN pada 17 Mei lalu, kejadian tembak semakin menjadi-jadi malah boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari terutama sejak Julai lalu dan berterusan sehingga sambutan Aidilfitri.

“Hanya satu pilihan terbaik buat KPN iaitu meletak jawatan segera bagi memikul tanggungjawab ini.
Itupun jika beliau seorang yang bermaruah,” katanya kepada Keadilan Daily.

Shamsul yang juga peguam mengulas lebih 30 kes tembakan sepanjang tahun ini dan terbaharu dua kejadian tembak dalam sehari pada 13 Ogos lalu masing-masing di Dungun, Terengganu dan Kuantan, Pahang.

Di Dungun, seorang pemilik restoran, Mohamad Lutpi Mansor, 50, mati ditembak di Kampung Cacar. Hasil bedah siasat dijalankan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu menemui dua butir peluru di dada dan bahu kiri mangsa.

Manakala di Kuantan, seorang ibu tunggal Ruzelawati Basri, 35, nyaris maut selepas terkena tembakan seorang lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian pukul 4 pagi di Jalan Haji Ahmad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff, penjenayah itu memegang sepucuk pistol dan mengetuk cermin kereta seterusnya mengarahkan wanita itu membuka pintu serta diarah keluar dari keretanya. Mangsa cedera di bahagian mata kanan dipercayai akibat serpihan kaca sebelum dibantu orang awam.

“Kita nasihatkan KPN segera meletak jawatan tanpa menunggu rakyat turun ke jalan raya bagi mendesak beliau berbuat demikian. Jenayah ini melibatkan nyawa rakyat dan jangan sesekali perjudikan keselamatan rakyat,” kata Shamsul lagi.

Tiada ulasan: