Sabtu, 3 Ogos 2013

Dr Mahathir: TPPA bakal sekat perdagangan

THE MALAYSIAN INSIDER

















Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) mengkritik langkah kerajaan untuk menjadi sebahagian daripada negara dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana perjanjian itu bakal menyekat perdagangan bebas.

Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu, berkata perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dilaksanakan sebelum ini terbukti gagal kerana menerusi perjanjian itu, negara yang menyertai perlu mengawal selia perdagangan melalui perjanjian dan bukan perdagangan bebas.

Memberi amaran bahawa TPPA adalah terhad, beliau juga menyatakan bahawa perjanjian itu mempunyai unsur ancaman.

"Jika TPPA tidak diterima maka negara-negara yang keras kepala akan menghadapi sekatan terhadap kebebasan mereka untuk mengadakan perdagangan dengan ahli-ahli TPPA," kata Dr Mahathir menulis dalam kolum ulasan yang disiarkan dalam akhbar The New Straits Time.

Beliau berkata, Malaysia sedia ada sudah menikmati faedah daripada perdagangan dengan negara-negara dalam TPPA itu.

Bagaimanapun, jika Malaysia tidak menyertai TPPA, perdagangan akan terbatal secara automatik dengan negara berkenaan kerana ia adalah salah satu syarat TPPA.

Beliau juga memberi amaran bahawa, negara ini membuka sendiri kebanjiran ligitasi undang-undang kerana syarat perjanjian yang dicadangkan dalam TPPA kebiasaannya akan mengatasi undang-undang negara.

Mengambil contoh Peru, negara Amerika Selatan yang menjalinkan FTA dengan Amerika Syarikat, Mahathir berkata,kerajaan negara TPPA mendedahkan diri mereka disaman oleh syarikat swasta yang tidak mempunyai kepentingan di negara berkenaan.

Katanya, Peru diarahkan membayar Renco sebanyak RM13.68 bilion kerana menghentikan pemprosesan produk yang mengakibatkan pencemaran sungai  La Oroya yang meracuni 95 peratus kanak-kanak di situ.

Beliau menegaskan bahawa pertikaian itu, yang diputuskan Pusat Antarabangsa Penyelesaian Krisis Pelaburan, ditugaskan untuk menegakkan TPPA.

Di Malaysia, katanya, dasar ekonomi yang digunakan bertujuan menangani masalah sosial.

"Ini mungkin bertentangan dengan kepentingan syarikat asing dan kita mungkin terpaksa meninggalkan dasar kita tanpa mengira kerosakan yang akan berlaku kepada masyarakat," katanya.

Dr Mahathir berkata, sesetengah pihak di Malaysia mungkin mengalu-alukan perjanjian ini, tetapi ia jelas menunjukkan diskriminasi kepada syarikat tempatan dalam kontrak dan pemerolehan kerajaan juga akan terdedah kepada tindakan undang-undang di bawah TPPA itu.

Bekas perdana menteri turut menyelar bahawa draf (TPPA) direka oleh syarikat besar Amerika Syarikat yang tentunya hanya memenuhi kepentingan mereka sendiri.

"Kita tahu kepentingan mereka adalah untuk menembusi pasaran negara kurang maju atau sedang membangun yang kaya dengan sumber,"katanya.

Tiada ulasan: