Jumaat, 2 Ogos 2013

DBKL perlu kenakan syarat sedia ruang solat selesa

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengambil pendekatan dengan mengenakan syarat lesen kepada premis perniagaan agar menyediakan ruang solat yang sesuai dan selesa kepada pekerja yang beragama Islam selaras dengan kuasa Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Ini kerana DBKL hanya boleh menasihati pemegang lesen premis perniagaan untuk menyediakan kemudahan ruang solat yang sesuai dan selesa bagi pekerja beragama Islam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sewaktu menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Senator Khairiah Mohamed dalam sesi perbahasan Titiah Diraja baru-baru ini.

Menurut Khairiah, terdapat lebih kurang 5,000 premis makanan berlesen di Wilayah Persekutuan dan kebanyakan pekerja-pekerja di premis perniagaan makanan segera adalah beragama Islam.

"Sedangkan solat adalah rukun Islam kedua yang merupakan fardhu ain aiaitu wajib bagi orang Islam, solat juga boleh mengukuhkan jati diri umat Islam dan mencegah kemungkaran," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen tengah hari tadi.

Beliau juga menggesa DBKL mengambil tindakan meminda peruntukan undang-undang kecil tersebut dengan memperuntukan secara jelas penyediaan ruang solat yang sesuai dan selesa bagi pekerja beragama Islam bagi membolehkan perkara ini dikuatkuasakan.

"Di dalam undang-undang kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan hanya menyatakan Datuk Bandar boleh dengan notis bertulis menghendaki mana-mana pemegang lesen supaya menyediakan bagi pekerjanya kemudahan yang sesuai dan yang secukupnya," kata beliau

Tiada ulasan: