Isnin, 5 Ogos 2013

DAP mahu teliti 200 laporan Utusan Malaysia sebelum kemuka saman

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Biro Undang-undang DAP yang diketuai Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo perlu meneliti lebih 200 laporan berita dan rencana yang menyerang DAP disiarkan Utusan Malaysia sejak Januari lalu untuk membolehkan akhbar milik UMNO itu disaman.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana dalam laporan berita dan rencana Utusan Malaysia telah berulang-kali menyebarkan pembohongan dan kepalsuan mengenai DAP dan pimpinan parti itu, terutama pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP ketika Kongres Kebangsaan DAP Disember tahun lalu.

Katanya, Utusan Malaysia langsung tidak mempedulikan prinsip asas kewartawanan yang berkaitan dengan etika, kejujuran dan kebenaran.

 “Serangan yang diarah oleh “war room” UMNO/BN bertujuan memburuk-burukkan dan memusnahkan DAP itu mencapai kemuncaknya pada April, sejurus sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, walaupun rentaknya perlahan selepas Mei lalu, momentumnya meningkat kembali pada Jun dan Julai, sehingga Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

“Walaupun ROS tidak mengemukakan sebarang alasan mengapa ia mahu pemilihan semula CEC diadakan, dua tuduhan palsu ditonjolkan dalam Utusan Malaysia sejak enam bulan lalu untuk menghalalkan tindakan ROS iaitu:

1. Bahawa 753 perwakilan DAP tidak diberikan notis mengenai Kongres DAP dan dinafikan hak untuk memilih CEC baru.

2. Bahawa Kongres DAP Disember tahun lalu disertai 547 perwakilan hantu yang sebahagian besarnya dari Pulau Pinang dan mengundi dalam kongres berkenaan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula CEC itu boleh difahami jika satu daripada dua dakwaan itu adalah benar, tetapi kedua-duanya adalah pembohongan yang nyata.

 “Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman secara terbuka menyebut pada awal tahun ini bahawa beliau hanya boleh mengarahkan supaya pemilihan semula CEC diadakan jika ada “bukti kukuh” mengenai percanggahan pada proses pemilihan itu.

 “Tuduhan liar “753” dan “547” itu terbukti pembohongan, maka apa “bukti kukuh” yang ROS miliki untuk menghalalkan arahannya supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC?,” katanya dalam laporan media.-Roketkini.com

Tiada ulasan: