Jumaat, 2 Ogos 2013

Black 505: 3 pemimpin AMK didakwa Selasa ini

 


 
Tiga pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerima saman hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 6 Ogos depan atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan naib Mohd Nazree Mohd Yunus menerima saman itu selepas memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pagi tadi.

Menurut Shamsul Iskandar, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 4(2)(b) atas tuduhan berhimpun di tempat larangan di perkarangan Masjid Al-Rahman, Universiti Malaya pada 22 Jun lalu sewaktu himpunan 'Blackout 505'.

Sebelum itu, Khairul Anuar dan Mohd Nazree pagi ini hadir ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dipercayai berkaitan penglibatan mereka dalam perhimpunan Black 505.

Kedua-duanya menerima notis pada 12 Julai lalu, untuk hadir memberi keterangan pada hari ini.

Mereka memberi keterangan di bawah Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sebelum itu Mohd Nazree dan Khairul Anwar memasuki IPD itu yang ditemani peguam A Jeyaseelen kira-kira jam 11.15 pagi.

Shamsul Iskandar yang juga ahli Parlimen Bukit Katil pula masih belum tiba sewaktu Khairul Anwar dan Mohd Nazree memasuki IPD itu.

Kesal gaya serahan saman

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Shamsul kesal apabila mereka pada mulanya dipanggil memberi keterangan bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah sahaja, namun mereka kemudiannya diserahkan notis saman itu.

"Kami diberikan gambaran yang kehadiran kami pada asalnya adalah untuk membantu siasatan sahaja. Justeru, gaya serahan saman mahkamah sebegini adalah sangat tidak wajar," kata Shamsul.

Ketiga-tiga mereka menjadikan jumlah yang didakwa kerana terlibat dalam himpunan Black 505 lalu setakat ini seramai 43 orang.

Sebelum ini, dua anggota parlimen Rafizi Ramli dan Anthony Loke bersama lima orang lain didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman pada 26 Julai lalu.

Rafizi dan Anthony didakwa di bawah Seksyen 15(3) akta itu atas tuduhan menganjurkan perhimpunan, tak mematuhi syarat polis dan tidak memohon persetujuan pemilik padang tersebut bagi tujuan itu.

Kedua-duanya juga didakwa mengikut Seksyen 9(1) akta yang sama atas tuduhan tidak memaklumkan kepada ketua polis daerah dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan berkenaan dijalankan sementara lima yang lain pula dituduh di bawah Seksyen 4(2)(b) akta tersebut.

Pada 29 Julai lalu, 33 orang termasuk pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin dan 'Makcik Bersih' Anne Ooi didakwa di bawah Seksyen 143 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan perhimpunan haram

Tiada ulasan: